KEDA bakal jenamakan Durian Pedu setanding jenama lain

Ismasuhaimi (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan input tanaman durian yang menjadi fokus projek PROSPEK Pedu.
Ismasuhaimi (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan input tanaman durian yang menjadi fokus projek PROSPEK Pedu.
A
A
A

KUALA NERANG - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berhasrat membantu pengusaha durian untuk menjenamakan Durian Pedu sebagai antara jenama bagi peminat raja buah itu.

Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata, agensi itu akan memainkan peranan agar Durian Pedu setanding dengan jenama terkemuka lain seperti Durian Balik Pulau dan Raub.

Menurutnya, disebabkan itu pengembangan hasil produk berasaskan tanaman durian menjadi antara fokus dalam komponen ekonomi yang dilaksanakan dalam Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Pedu.

“Varieti pokok klon lain termasuk Musang King, D24, Duri Hitam, Udang Merah ditawarkan bagi PROSPEK Pedu ini.

“Seramai 312 peserta PROSPEK yang mengusahakan tanaman durian atas keluasan tanah 259.706 hektar melibatkan jenis pokok klon dan pokok durian kampung,” katanya ketika ditemui di majlis Ramah Mesra Pengurus Besar KEDA bersama penerima bantuan daerah Padang Terap, di sini pada Rabu.

Ismasuhaimi berkata, untuk menjayakan hasrat itu, para pengusaha perlu membantu KEDA dengan memberi komitmen tinggi dalam mengusahakan tanaman berkenaan.

Ismasuhaimi (dua dari kiri) memeriksa alatan bantuan yang diberikan kepada penerima sambil beramah mesra seusai program.
Ismasuhaimi (dua dari kiri) memeriksa alatan bantuan yang diberikan kepada penerima sambil beramah mesra seusai program.

“Seramai 119 penerima menerima bantuan yang mana 112 daripadanya melalui projek PROSPEK sementara selebihnya merupakan penerima bantuan bagi Projek Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT).

Artikel Berkaitan:

“Antara bentuk bantuan adalah bantuan peralatan, input pertanian, bina rumah baharu serta baik pulih rumah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismasuhaimi memaklumkan, KEDA telah membelanjakan RM1.24 juta untuk pembangunan PROSPEK di Pedu bagi tahun ini.

“Jumlah ini meliputi enam pecahan pembangunan, iaitu pemberian input tanaman durian, bantuan projek ekonomi, pertanian dan penternakan, projek ameniti sosial dan jalan pertanian,” ujarnya.

Menurutnya lagi, daripada jumlah tersebut, RM105,000 dibelanjakan bagi projek baik pulih tujuh unit rumah di kawasan PROPEK Pedu.

“PROSPEK merupakan projek yang memfokuskan kepada pembangunan di beberapa perkampungan sedia ada yang berdekatan. Sekurang-kurangnya lima buah kampung tanpa melibatkan pembukaan kawasan baharu,” katanya.

Ismasuhaimi jelaskan, program ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menaiktaraf kemudahan prasarana di kampung-kampung sedia ada.

“PROSPEK Pedu bermula pada tahun 2022 dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di mukim Pedu dan daerah Padang Terap.

“Fasa pembangunannya melibatkan 12 buah kampung dalam mukim Pedu yang mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi sedia ada dan berpotensi dibangunkan seperti pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana (IKS),” jelasnya.

Antara kampung terlibat Kampung Padang Setol, Kampung Kuala Tekai, Kampung Pauh, Kampung Baru Seladang, Kampung Musa, Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Buluh, Kampung Banggol Pong, Kampung Pinang, Kampung Tong Pelu dan Kampung Kepala Batas.