RM791 juta hasil kutipan zakat hingga November - LZS

Cyberview Sdn Bhd mendahului senarai syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3,194,730.
Cyberview Sdn Bhd mendahului senarai syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3,194,730.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 328,000 pengeluar zakat di negeri Selangor menunaikan zakat dengan kutipan keseluruhan berjumlah kira-kira RM791 juta sehingga November tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, jumlah kutipan keseluruhan itu meningkat sebanyak tiga peratus berbanding 2022.

"Daripada jumlah keseluruhan zakat dikutip pada 2022, zakat perniagaan menyumbang sebanyak RM166 juta yang merupakan sumbangan kedua tertinggi selepas zakat pendapatan.

"Semakan data kami menunjukkan jumlah usahawan Muslim semakin ramai namun jumlah kutipan zakat perniagaan masih belum mencapai sasaran meskipun peningkatan kutipan jelas kelihatan.

"Hakikatnya potensi sebenar yang berkelayakan untuk berzakat masih besar jumlahnya iaitu kira-kira 1 juta orang/syarikat dan bagi 2023 kami optimis menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM167 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat Imtiyaz di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Seksyen 14 di sini pada Rabu.

Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalulail.

Mohd Sabirin menambah, sasaran kutipan zakat menjadi penanda aras kepada LZS untuk berusaha keras dalam memastikan keperluan agihan dapat dipenuhi bagi membantu kehidupan asnaf.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah asnaf kini melebihi 68,000 ketua keluarga dan dijangka bertambah di seluruh negeri Selangor.

"Justeru saya menyeru kepada anda semua untuk sama- sama membantu LZS meningkatkan lagi kesedaran serta menggalakkan orang ramai agar menjadi lebih peka dan prihatin untuk tampil menunaikan zakat memandangkan kita kini sudah menghampiri penghujung tahun 2023," katanya.

Sementara pada majlis di Wisma PKPS, LZS menerima sumbangan zakat perniagaan daripada 35 syarikat berjumlah RM19,594,783.12.

Cyberview Sdn Bhd mendahului senarai syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3,194,730 dikuti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (RM2,680,968) dan CIMB Islamic Bank Berhad (RM1.5 juta).

Syarikat lain turut menyerahkan zakat perniagaannya adalah KMF Network Sdn Bhd (RM1.2 juta), Persatuan Nelayan Kebangsaan (RM1,192,528) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd sebanyak RM1,033,561.745.

Dalam majls sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM51,099,281.63.

Dalam pada itu, sebanyak lima syarikat menerima Pengiktirafan Muzakki (Iktiraf) sebagai tanda penghargaan kerana bersama-sama LZS membantu golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat.

Iktiraf diperkenalkan pada 2021 sebagal penghargaan LZS atas kesetiaan syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan dan majikan yang komited melaksanakan skim potongan gaji (SPG) kakitangannya.

Sejak diperkenalkan, lebih 200 syarikat telah menerima penghargaan Iktiraf ini.