82 motosikal tanpa brek belakang disita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 82 motosikal tidak dilengkapi brek belakang disita dalam operasi di ibu kota, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam Ops Motosikal/Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengesan penunggang remaja berlumba dengan menanggalkan brek belakang motosikal.

"Kita ada kesan remaja berlumba dengan menanggalkan brek belakang motosikal seperti 'basikal lajak', ia berisiko kemalangan dan menyebabkan maut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan, di sini pada Rabu.

Katanya, sebanyak 625 saman telah dikeluarkan dan 247 buah motosikal disita dalam operasi itu.

"Daripada jumlah sitaan tersebut, sebanyak 82 buah motosikal disita atas kesalahan mengubah suai motosikal dengan menanggalkan komponen brek belakang yang menjadi trend terkini golongan remaja.

Allaudeen berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak yang menunggang motosikal demi keselamatan.

"Ibu bapa tolong pantau anak-anak, jangan benarkan mereka tunggang motosikal tanpa brek," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, operasi pada hujung minggu lalu yang tamat jam 5 pagi, segelintir penunggang motosikal dilihat menunggang melawan arus bagi mengelak ditahan polis.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintenden Zulkafli Chek Lah dilaporkan berkata, sebanyak enam sekatan jalan raya dilakukan, terutama di lokasi tumpuan, iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Azlan Shah.