Nampak Toyota Hilux dipandu terhuyung-hayang atas jambatan - Saksi

Pasukan SAR yang melakukan kerja-kerja di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Zulkarnain)
Pasukan SAR yang melakukan kerja-kerja di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Zulkarnain)
A
A
A

KOTA BHARU – Saksi kejadian lelaki terjatuh ke Sungai Kelantan di Jambatan Tendong di sini melihat kenderaan dipandu oleh mangsa dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum berhenti mengejut di tepi jalan.

Pesara polis, Zulkarnain Mohamad, 64, berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu oleh pembuat barangan besi, Mohd Zulhilmi Mohd Zamri, 37, bergerak dalam keadaan demikian dari arah Tendong ke Kota Bharu.

Menurut Zulkarnain, keretanya secara kebetulan berada di belakang kenderaan mangsa yang dalam keadaan huyung-hayang sejauh kira-kira 150 meter di atas jambatan dari persimpangan lampu isyarat Tendong.

“Saya sangkakan pemandu mengantuk dan membunyikan hon supaya dia tersedar namun tiba-tiba lelaki itu berhenti serta melihatnya turun dari kenderaan tersebut sebelum jatuh ke sungai.

“Saya menjerit memanggilnya sambil berlari cuba untuk menyelamatkan lelaki itu tetapi tidak sempat sebelum melihat sebelah tangan melambai ketika berada di dalam sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Rabu.

Usaha SAR mangsa jatuh jambatan diteruskan di Sungai Kelantan.
Usaha SAR mangsa jatuh jambatan diteruskan di Sungai Kelantan.

Ujar Zulkarnain, dia segera menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk memaklumkan kejadian dan bantuan.

“Ketika itu saya melihat dia beberapa kali tenggelam timbul sebelum hilang kerana dihanyutkan arus sungai dalam tempoh hanya 15 minit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fakaruddin brahim berkata, operasi mencari dan penyelamat (SAR) yang dilakukan pada Selasa disambung pada Rabu bermula jam 7 pagi.

Katanya, lokasi pencarian diperluaskan ke tujuh kilometer (km) radius berbanding 2km sebelumnya serta turut membabitkan lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai bomba Pengkalan Chepa dan Wakaf Bharu, Tumpat.

“Aset pencarian juga ditambah daripada dua kepada tujuh bot membabitkan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Unit K9 dari ibu pejabat Putrajaya dijangka tiba petang ini selain bantuan unit dron daripada Bukit Aman,” ujar beliau.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang.

Ahli keluarga mangsa memberitahu lelaki itu dikatakan mengalami gangguan halusinasi dan mendengar suara halus.