Musim tengkujuh: Pengusaha guna kaedah moden keringkan keropok

Kamlah menunjukkan rak pengering yang diperbuat daripada besi.
Kamlah menunjukkan rak pengering yang diperbuat daripada besi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha keropok keping di sini terpaksa beralih kepada penggunaan bilik pengering yang diubahsuai untuk proses pengeringan makanan berkenaan susulan musim tengkujuh melanda negeri ini.

Kamlah Abdullah, 59, berkata, sebelum ini dia menggunakan cahaya matahari sebagai sumber semula jadi bagi proses pengeringan keropok namun perlu menukar kaedah lain untuk memastikan stok mencukupi memenuhi permintaan pelanggan.

"Pada hari biasa sememangnya kita menjemur keropok di bawah cahaya matahari namun disebabkan musim hujan secara berterusan ini menyebabkan keropok dihasilkan itu perlu dikeringkan menggunakan kaedah pemanasan daripada api dapur gas serta kipas di sebuah ruangan tertutup.

"Proses pengeringan di ruangan tertutup itu mengambil masa antara tujuh dan lapan jam berbanding kaedah jemur di bawah cahaya matahari yang hanya memerlukan masa antara empat hingga lima jam.

"Keropok keping yang dihasilkan tidak terjejas dan rasanya kekal sedap walaupun menggunakan kaedah pengeringan di bilik pengering," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di bengkel pemprosesan keropok keping miliknya yang terletak di Kampung Pengkalan Setar dekat sini pada Selasa.

Kamlah menunjukkan produk keropok keping dihasilkannya.
Kamlah menunjukkan produk keropok keping dihasilkannya.

Mengulas lanjut, Kamlah berkata, dia memilih rak pengering diperbuat daripada besi berbanding kayu kerana ia lebih kukuh dan tidak mudah rosak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rak besi boleh digunakan pada tempoh lama selain tidak perlu berasa risau terhadap serangan kulat atau anai-anai.

"Dengan adanya bilik pengering ini, perniagaan keropok keping dapat berjalan lancar meskipun berhadapan cuaca tidak menentu dan musim tengkujuh melanda Terengganu," jelasnya.

Mengulas lanjut, Kamlah menyatakan dia yang sudah menjual keropok keping sejak 2014 itu turut mendapat bantuan daripada dua anaknya dalam mengusahakan perniagaan tersebut.

"Saya menggunakan hasil keuntungan jualan sebanyak RM25,000 untuk membina bilik pengering itu yang digunakan selama tiga bulan sahaja ketika musim tengkujuh.

"Setelah berakhirnya musim tersebut, kita akan menggunakan semula kaedah menjemur keropok keping di bawah sinaran matahari seperti biasa," ulasnya.