Dua maut kejadian pokok tumbang di Ampang

Pokok tumbang menghempap sebuah Toyota Avanza dan motosikal jenis Yamaha 135LC. - Foto JBPM Selangor
Pokok tumbang menghempap sebuah Toyota Avanza dan motosikal jenis Yamaha 135LC. - Foto JBPM Selangor
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 3.51 petang itu, pemandu kereta jenis Toyota Avanza disahkan maut di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Ampang.

"Sebaik menerima maklumat, bantuan di tempat kejadian dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), kerja-kerja pembersihan di sedang giat dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seorang pegawai dan lima anggota Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 3.51 petang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita terus melakukan kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa.

"Pemandu kereta dikenali sebagai Radin Abd Kharim Radin Mamfudz, 65, dan penunggang motosikal dikenali sebagai Muhammad Hisyammuddin Ahmad Shakif berusia 23 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan: