Penunggang motosikal kuasa tinggi maut, isteri parah

Keadaan motosikal ditunggangi mangsa yang terbabit nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 63 Jalan Ipoh-Gerik dekat Liman Kati, Kuala Kangsar pada Isnin. - Foto media sosial
Keadaan motosikal ditunggangi mangsa yang terbabit nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 63 Jalan Ipoh-Gerik dekat Liman Kati, Kuala Kangsar pada Isnin. - Foto media sosial
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 63 Jalan Ipoh-Gerik dekat Liman Kati di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, Mohd Khairil Anuwar Mustakim, 40, meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Kuala Kangsar manakala Norlilawati Mohd Shah, 40, patah buku lali kiri.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, semasa kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis BMW GS dari arah Gerik ke Kuala Kangsar.

Omar Bakhtiar
Omar Bakhtiar

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, datang sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan membelok ke kanan laluan motosikal berkenaan.

"Penunggang motosikal cuba mengelak ke kiri, namun gagal menyebabkan pelanggaran berlaku.

"Akibat pelanggaran itu, motosikal terbabit terjatuh dan terseret ke tepi jalan sebelum masuk ke dalam longkang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kereta ketika masuk simpang. - Foto media sosial
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kereta ketika masuk simpang. - Foto media sosial

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pasangan suami isteri tersebut dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, namun polis menerima makluman bahawa lelaki terbabit telah meninggal dunia pada jam 7.30 malam.

Katanya, pemandu kereta berusia 65 tahun dan seorang penumpang wanita berusia 42 tahun mengalami luka pada bahagian lutut dan kepala.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kereta ketika masuk simpang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.