Polis rampas 149 kotak mercun bernilai RM83,550

Raiz Mukhliz (tengah) bersama sebahagian mercun yang dirampas. - Foto IPD Muar
Raiz Mukhliz (tengah) bersama sebahagian mercun yang dirampas. - Foto IPD Muar
A
A
A

MUAR - Polis merampas 149 kotak mercun yang dianggarkan bernilai RM83,550 selain menahan seorang lelaki hasil serbuan di sebuah premis kilang di Bakri, 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kesemua mercun yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina.

"Pada 12 Disember 2023 lalu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah membuat serbuan di sebuah premis kilang di Bakri.

"Dalam serbuan yang dilakukan pada 4.30 petang itu, polis telah merampas sebanyak 149 kotak pelbagai jenis dengan anggaran nilai RM83,550.00.

"Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyimpan mercun tanpa permit yang sah di premis kilang berkenaan," katanya.

Raiz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama tujuh tahun atau dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyimpan mercun atau bahan letupan berbahaya tanpa sebarang permit yang sah.

"Polis juga akan mengadakan operasi berterusan bagi mengekang kegiatan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan: