Kutipan Tabung Musa'adah Jakim-YWM cecah hampir RM9 juta

Mohd Na'im Mokhtar (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr Ridzwan Bakar (kanan) bersama Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan LC Wakaful Digital Sdn Bhd Rizal Kamaruzzaman (kiri) pada majlis menandatangani Kerjasama Strategik antara Yayasan Wakaf dan LC Wakaful Digital pada Selasa. Foto: Bernama

A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kutipan Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Wakaf Malaysia (Jakim-YWM) kini mencecah RM8.8 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, dana daripada tabung berkenaan akan diagihkan secara berperingkat ke Palestin untuk dimanfaatkan bagi pembinaan kemudahan infrastruktur.

"Kita beri tumpuan lebih kepada bantuan pasca konflik di Palestin. Cadangan kita adalah untuk bina hospital dan pusat dapur.

"Kita akan kerjasama dengan beberapa NGO (badan bukan kerajaan) untuk bina kemudahan yang kita rancangkan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik antara YWM dan LC Wakaful Digital Sdn Bhd serta penyerahan cek contoh Tabung Musa’adah Jakim-YWM di sini pada Selasa.

Tabung Musa’adah Jakim-YWM dilancarkan pada Oktober 2020 yang berfungsi sebagai tabung bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan bangsa.

Mengenai perjanjian kerjasama strategik, Mohd Na’im berkata, ia bertujuan mempelbagaikan platform kutipan dan agihan wakaf melalui penggunaan platform bantuan sosial pintar GoBarakah.

"Melalui GoBarakah, masyarakat boleh berwakaf secara tunai atau membuat sumbangan melalui pembelian e-baucar yang kemudiannya akan diserahkan kepada YWM untuk tujuan agihan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: