Melaka rayu KPKT segerakan WTE

Rais
Rais
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka merayu Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyegerakan projek sisa jadi tenaga (WTE) di tapak pelupusan sisa pepejal Sanitari Sungai Udang.

Exco Perumahan Kerjasama Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, tapak pelupusan sedia ada semakin kritikal dan hanya boleh menampung kapasiti sampah dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurutnya, ia sekali gus dapat menangani kegiatan pembuangan sampah haram di negeri ini yang direkodkan paling tinggi oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),

Tambahnya, pusat pelupusan itu merupakan satu-satunya tapak pembuangan sisa pepejal di negeri ini dan dianggarkan menerima sebanyak 1,100 tan sisa pepejal sampah setiap hari.

"Keadaan trafik sampah yang sesak antara punca menyebabkan wujudnya tapak-tapak sampah haram.

"Jadi antara penyelesaian yang pihak kerajaan pusat buat adalah untuk diadakan WTE," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat TM Melaka dan Japerun Paya Rumput dekat sini pada Selasa.

Rais berkata, sehingga kini projek itu belum dimulakan kerana difahamkan terdapat isu melibatkan syarikat dilantik,.

Justeru, beliau berharap kementerian berkenaan segera menyelesaikan dan membina WTE kerana keadaannya sangat mendesak.

Artikel Berkaitan:

Rais (tengah) menyampaikan Sumbangan Zakat TM Melaka dan Japerun Paya Rumput di sini, pada Selasa.
Rais (tengah) menyampaikan Sumbangan Zakat TM Melaka dan Japerun Paya Rumput di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga turut mengambil langkah segera berkenaan isu tapak pembuangan sampah haram dengan memanggil agensi berkaitan dalam masa terdekat.

“Selaku Exco bertanggungjawab, kita akan ambil tindakan segera dengan memanggil pihak-pihak terlibat untuk kita kaji dan lihat bagaimanapun isu ini berlaku," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, Melaka merupakan negeri yang tertinggi mempunyai tapak pelupusan sampah haram iaitu sebanyak 608 tapak dikenal pasti sejak Januari sehingga September lalu.

Daripada jumlah tersebut, di Melaka Tengah mempunyai 214 tapak pelupusan sampah haram, Hang Tuah Jaya (135), Alor Gajah (112), manakala Jasin merekodkan jumlah sebanyak 147.