Melaka tambah 500 tan metrik beras tempatan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Melaka akan menambah kira-kira 500 metrik tan beras tempatan untuk diedarkan ke seluruh kedai runcit di negeri ini sehingga akhir bulan ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu diputuskan hasil daripada mesyuarat antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) dan syarikat pemborong beras negeri pada Rabu.

Menurutnya, pertambahan itu bagi menampung keperluan rakyat selepas terdapat aduan dan dakwaan berhubung kekurangan bekalan makanan ruji itu.

Katanya, sebelum ini Melaka menerima kira-kira 600 hingga 800 metrik tan beras setiap bulan.

"Kita putuskan sehingga hujung bulan ini, Melaka akan dapat penambahan 500 metrik tan beras tempatan.

"Pada masa sama akan pastikan semua stok ini diedarkan kepada seluruh kedai-kedai," katanya dalam satu video yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya selepas mesyuarat jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan beras tempatan di Ayer Keroh, pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berharap pengguna dapat menyalurkan aduan dan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya masih tidak mendapat bekalan tempatan di kawasan mereka hingga akhir bulan ini.

"Kita akan pastikan kita tentang habis-habis sehingga isu beras ini selesai," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengawal selia bekalan beras tempatan dalam menangani masalah kekurangan bekalan beras.

Dr Muhamad Akmal berkata, langkah penubuhan jawatankuasa itu akan melibatkan agensi utama iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kawalselia Padi dan Beras (KPB) negeri bagi membincangkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diwujudkan untuk mengatasi isu berkenaan serta memantau pergerakan keluar dan masuk bekalan beras.