Henti main politik, fokus selesai masalah negara

Keratan laporan Sinar Harian pada Isnin.
Keratan laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SUHU politik negara naik semula selepas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang membayangkan kemungkinan bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia pada masa depan.

Kenyataan ini menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak, bukan sahaja melibatkan pemimpin pembangkang, malah parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Terbaharu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai pula mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya itu.

Menurut Ahli Parlimen Cheras itu, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2023 di sini pada Ahad. Sekali lagi, cadangan yang dikemukakan DAP mendapat tindak balas negatif.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah kebimbangan terhadap perpecahan dalam kalangan rakyat kerana kemungkinan dimonopoli oleh satu kaum sahaja termasuk kos untuk melaksanakan pilihan raya itu.

Kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja berusia 12 bulan dan keutamaan pada ketika ini ialah untuk memulihkan semula ekonomi negara dan taraf hidup rakyat.

Segala tenaga seharusnya ditumpukan kearah usaha-usaha tersebut dan tidak sepatutnya beralih kepada tumpuan lain.

Artikel Berkaitan:

Segala pandangan dan cadangan daripada Kit Sing dan Kok Wai amat tidak wajar untuk dibangkitkan pada masa ini.

Walaupun kita tahu DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah hari ini dan mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.

Tetapi mereka harus ingat bahawa Perdana Menteri dan barisan Kabinet terdiri daripada pelbagai kaum dan parti itu yang akan menentukan sama ada cadangan tersebut boleh dilaksanakan atau tidak.

Kini terserah kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk membuat keputusan sama ada pandangan dan cadangan Kit Siang dan Kok Wai adalah pendirian parti yang perlu dilaksanakan.

Sudah tentu usaha Anthony selama ini yang ingin menjadi DAP sebagai sebuah parti berhaluan kanan menyokong usaha progresif membangunkan negara dan bukan sebuah parti berhaluan kiri dan berpendirian keras dengan agenda tersendiri.

Buat masa ini, hentikanlah bermain politik tetapi gunakan peluang yang ada untuk menunjukkan kebolehan bahawa DAP sebuah parti terbaik untuk negara dan rakyat Malaysia.