Pas Wilayah Persekutuan bantah cadangan pilihan raya PBT

Azhar
Azhar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas Wilayah Persekutuan membantah keras cadangan Ketua DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai yang menggesa pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara dilaksanakan dalam usaha menegakkan demokrasi.

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, cadangan Kok Wai dianggap sangat berbahaya yang boleh menyebabkan monopoli kaum disebabkan pecahan populasi mengikut kaum tidak seimbang khususnya di Wilayah Persekutuan.

"Apa yang dibimbangkan jika pilihan raya PBT diadakan akan berlaku monopoli kaum khususnya kaum Cina dalam menguasai kerusi PBT di Kuala Lumpur.

"Buktinya, Parlimen Kepong, Seputeh, Cheras, Bukit Bintang, Segambut, dikuasai oleh DAP manakala kerusi Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak adalah kawasan campuran yang majoritinya dikuasai oleh kaum selain Melayu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Kok Wai semasa berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur mencadangkan supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Menurut beliau, pelaksanaan pilihan raya PBT akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.

Tegas Azhar, Pas Wilayah Persekutuan tidak bercakap mengenai soal rasis (perkauman), sebaliknya mempersoalkan jaminan bahawa orang Melayu akan mendapat kerusi dan suara majoriti bagi memastikan hak keistimewaan dipertahankan.

Beliau turut meluahkan kebimbangan kos perbelanjaan yang akan ditanggung jika cadangan pilihan raya PBT tersebut diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Azhar berkata, pelantikan seorang menteri dibantu Datuk Bandar yang bertanggungjawab khusus bagi Wilayah Persekutuan juga dianggap sudah memadai bagi mengetuai pentadbiran dan pengurusan di Kuala Lumpur.

"Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) turut diwujudkan sejak 2011 bertujuan membantu kecekapan penyampaian perkhidmatan secara berterusan dan melaksanakan program kemasyarakatan dan modal insan

"Fungsi MPP ini merupakan salah satu mekanisme penghubung di antara kerajaan dan komuniti setempat. Fungsi ahli PBT telah pun dilaksanakan dengan jayanya oleh MPP sejak penubuhannya," katanya.

Tambah beliau, ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan juga boleh berperanan aktif dalam menyampaikan suara mereka.

"Kesemua 13 ahli Parlimen sudah memadai sebagai wakil rakyat dan menjaga kawasan masing-masing.

"Bahkan mereka juga menjadi penasihat kepada MPP di parlimen masing-masing serta menjadi penghubung antara wakil rakyat dengan rakyat.

"Dengan kesemua fakta di atas, Pas Wilayah Persekutuan menganggap kerajaan perlu melihat jauh ke depan dan menolak cadangan Kok Wai yang dilihat sudah tepu dan tidak relevan dengan keadaan semasa," katanya.