'Tiada keperluan buat pilihan raya PBT' - Veteran UMNO

Laporan Sinar Harian (kiri), Mustapha
Laporan Sinar Harian (kiri), Mustapha
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO Malaysia kesal dengan cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang meminta kerajaan melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya itu bermula dengan Kuala Lumpur.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tiada keperluan mengadakan prosedur tersebut kerana struktur yang sedia ada dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah memadai.

Menurut beliau, pihaknya faham hasrat DAP untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili ahli kaum Cina dan sekiranya ia diadakan, maka mudah untuk golongan itu menang majoriti di kawasan berkenaan.

“Kita sudah ada wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya bagi mewakili kesemua kawasan Parlimen dalam Kuala Lumpur.

“Ada ahli majlis dilantik mewakili semua kaum untuk membantu Datuk Bandar. Jadi, untuk apa perlukan pilihan raya lagi?

“Sekiranya ia dibenarkan di Kuala Lumpur, maka nanti akan ada tuntutan untuk PBT di Pulau Pinang, Ipoh, Klang, Melaka, Johor Bahru dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas cadangan yang diutarakan ahli Parlimen Cheras ketika perasmian Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2023 di Wisma DAP Kuala Lumpur.

Tambahnya, DAP seakan-akan masih terbawa-bawa idealisme lamanya dengan desakan berbaur perkauman sama seperti perkara yang disuarakan oleh veteran parti berkenaan, Tan Sri Lim Kit Siang baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berharap agar pimpinan baharu DAP dapat membendung corak pemikiran Kok Wai dan memastikan tiada lagi sebarang usaha untuk menyemarakkan perasaan benci serta perkauman antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan sampai desakan seperti ini boleh ditafsirkan sebagai mencabuli 3R (agama, raja, kaum) yang boleh membawa padah,” ujarnya.