KBS luluskan RM100,000 dana KWASN untuk CHARM

Hannah menyampaikan replika cek kepada Presiden CHARM, Lim Chin Hau (dua dari kanan) pada Anugerah Pengiktirafan Pasukan Sorak Malaysia di Subang malam ini. - Foto Bernama
Hannah menyampaikan replika cek kepada Presiden CHARM, Lim Chin Hau (dua dari kanan) pada Anugerah Pengiktirafan Pasukan Sorak Malaysia di Subang malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) untuk Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM).

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, dana yang diluluskan itu adalah bagi menyokong pembangunan akar umbi sukan pemandu sorak yang sedang meningkat di tanah air.

"Tahun ini buat pertama kali skuad negara menyertai Kejohanan Sorak Remaja Dunia di Amerika Syarikat dan mendapat tempat keenam.

"Jadi sebagai tanda sokongan kepada CHARM, KBS telah meluluskan ia (peruntukan) bagi pembangunan sukan ini,” katanya selepas merasmikan Anugerah Pengiktirafan CHARM di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Hannah menyeru kepada skuad sorak negara untuk bersedia dan menampilkan prestasi terbaik memandangkan sukan itu berpeluang dipertandingkan di Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Beliau turut berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat memberi sokongan kepada sukan sorak ini untuk diperkembangkan di peringkat sekolah dalam memastikan pembangunannya dalam negara.

"Saya berharap sekolah-sekolah juga akan mewujudkan sukan ini, sebab saya lihat sukan ini menyaksikan barisan atlet yang berbilang kaum dalam satu pasukan, dan semestinya akan mengeratkan kita semua,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: