67 pemilik robohkan ubah suai rumah tanpa kelulusan

Seramai 67 pemilik kediaman telah merobohkan sendiri struktur binaan tambahan rumah mereka susulan tidak mendapat kelulusan daripada MBK. - Gambar hiasan 123rf
Seramai 67 pemilik kediaman telah merobohkan sendiri struktur binaan tambahan rumah mereka susulan tidak mendapat kelulusan daripada MBK. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KUANTAN - Seramai 67 pemilik kediaman telah merobohkan sendiri struktur binaan tambahan rumah mereka susulan tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, tindakan terbabit dilakukan oleh mereka selepas menerima notis arahan daripada pihaknya.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 120 aduan yang merangkumi pelbagai isu berkaitan dengan ubah suai kediaman di sekitar daerah ini.

"Pihak kita juga dalam proses penyediaan enam kertas untuk tindakan pendakwaan atas pelbagai kesalahan.

"Tindakan perundangan diambil selepas pemilik gagal mengambil tindakan meroboh atau mengemukakan pelan berhubung pengubahsuaian struktur rumah yang dibuat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau menjelaskan, empat kategori aduan sering diterima antaranya, pengubahsuaian rumah tanpa kelulusan iaitu binaan boleh yang diluluskan.

Katanya, kedua berkaitan pengubahsuaian rumah tanpa kelulusan di mana kerja-kerja ini tidak boleh diluluskan dan perlu dirobohkan.

"Seterusnya, pengubahsuaian rumah yang melencong daripada kelulusan asal (perlu mengemukakan pelan pindaan dan ia boleh diluluskan).

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan dan pengubahsuaian di atas rezab awam seperti di atas rezab jalan, longkang, lorong belakang, kawasan lapang serta lain-lain," katanya.