24,500 asnaf terima sumbangan zakat RM17.15 juta

Shaikh Harun (dua dari kanan) ketika Majlis KAHA MAIDAM 2023 di Dewan Terbuka JHEAT di sini pada Isnin.
Shaikh Harun (dua dari kanan) ketika Majlis KAHA MAIDAM 2023 di Dewan Terbuka JHEAT di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 24,500 Ketua Isi Rumah (KIR) terdiri daripada asnaf dan fakir miskin di Terengganu menerima agihan zakat berjumlah RM17.15 juta pada tahun ini menerusi Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, KAHA merupakan salah satu inisiatif institusi ini untuk mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf yang layak.

Shaikh Harun (tengah) menyampaikan sumbangan pada asnaf
Shaikh Harun (tengah) menyampaikan sumbangan pada asnaf

Menurutnya, penerima KAHA tersebut merupakan penerima bantuan bulanan dan sara hidup MAIDAM bermula awal Januari lepas sehingga hujung tahun ini.

"KAHA mula diperkenalkan pada tahun lepas di mana konvoi motosikal diadakan serentak di seluruh Terengganu melibatkan semua daerah.

"Bagaimanapun, penganjuran pada tahun ini sedikit berbeza disebabkan kekangan cuaca. Jadi, program berkenaan digantikan dengan dua kaedah iaitu diadakan menerusi majlis di dewan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) manakala lawatan ke rumah-rumah asnaf bagi lain-lain daerah di negeri ini.

"Oleh itu, besarlah harapan MAIDAM supaya agihan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan asnaf selain menimbulkan rasa ingin memajukan ekonomi keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis KAHA MAIDAM 2023 di Dewan Terbuka JHEAT, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 30 penerima turut hadir pada Isnin untuk menerima wang tunai sebanyak RM700 dan bakul barangan keperluan manakala penerima selebihnya akan dibayar melalui pemindahan dana elektronik (EFT) iaitu dikreditkan terus ke akaun penerima.

Sementara itu, Shaikh Harun berkata, pada majlis hari ini juga menyaksikan penyerahan dana bagi program MyHAUS pada tahun 2022.

Menurutnya, program ini merupakan bantuan bagi pembinaan rumah asnaf daripada Lembaga Tabung Haji dengan peruntukan sebanyak RM400,000 melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

"Lima buah rumah telah siap dibina menggunakan peruntukan yang diberikan ini dengan kos RM80,000 setiap rumah.

"Terima kasih diucapkan kepada Lembaga Tabung Haji di atas peruntukan yang diberikan dalam usaha memastikan setiap keluarga memiliki rumah yang selasa," jelasnya.