Jual ubi ganti jagung


Rozatul Iffah memilih ubi badak untuk dijual kepada pelanggan
Rozatul Iffah memilih ubi badak untuk dijual kepada pelanggan
A
A
A

TANAH MERAH - Peniaga jagung di Kampung Paloh Hilir, Bukit Panau di sini mengambil peluang menjual pelbagai jenis ubi berikutan tidak dapat menanam jagung sepanjang musim tengkujuh.

Difahamkan, setiap kali tiba Monsun Timur Laut (MTL), pekebun jagung terpaksa mengosongkan kebun di sepanjang sungai berdekatan dan hanya menjual jagung dari Pahang.

Bagaimanapun, bagi menambah pendapatan, penjual turut menjual pelbagai jenis ubi yang memang menjadi kegemaran orang ramai pada musim hujan.

Peniaga jagung, Rozatul Iffah Ismail, 46, mengambil inisiatif menjual pelbagai jenis ubi termasuk ubi kayu, ubi keladi, ubi badak dan keledek untuk mencari rezeki tambahan.

“Ubi badak paling digemari pelanggan dan saya boleh menjual kira-kira 500 kilogram (kg) ubi ini dalam beberapa hari sahaja,” katanya ketika ditemui di gerainya.

Rozatul Iffah memberitahu, ubi badak turut menjadi pilihan pelanggan berbangsa Cina untuk membuat kuih.

“Alhamdulillah ubi juga menjadi sebahagian rezeki dan pendapatan kami juga bertambah pada musim ini,” katanya.

Sementara itu, Jizah Daud, 61, tetap meneruskan jualan jagung tetapi diambil daripada pemborong dari Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Warga emas itu turut memberitahu jagung dari tanah tinggi itu mendapat sambutan kerana sedap dan manis.

“Walaupun tidak dapat menanam sendiri jagung pada musim ini, saya tetap menjualnya kerana sudah sinonim dengan kedai ini sejak dahulu,” katanya.

Jizah mengambil inisiatif menjual jagung rebus yang memang popular di kedainya sejak dahulu.

“Selain itu, saya juga menjual beberapa jenis ubi sebagai jualan sampingan.

“Antara ubi terlaris yang menjadi pilihan ramai antaranya keledek kuning dan ungu serta ubi kayu,” katanya.