Selangor hadiahkan kemenangan ke-20 buat penyokong

Brendan (tiga dari kiri) meraikan jaringannya bersama pemain-pemain Selangor lain ketika menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ pada Ahad.
Brendan (tiga dari kiri) meraikan jaringannya bersama pemain-pemain Selangor lain ketika menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ pada Ahad.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] HASRAT naib juara Liga Super, Selangor FC menghadiahkan kemenangan ke-20 musim ini kepada lebih 10,000 penyokong-penyokong setia The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, direalisasikan selepas menewaskan PDRM, 3-1 pada Ahad.

Pengendali Tan Cheng Hoe menurunkan keseluruhan kesebelasan terbaik termasuk penyerang sensasi Ayron del Valle selepas mengesahkan slot ke pentas Asia musim depan bermula garang mengasak kubu The Cops, yang diketuai Amir Saiful Badeli.

Gol Red Giants akhirnya dijelmakan Faisal Halim yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-37 bagi menewaskan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun.

Red Giants yang tampil sebagai tuan rumah kemudian melebarkan kedudukan selepas kapten pasukan Brendan Gan meledak gol kedua pada minit ke-45 untuk memimpin separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, The Cops kendalian Datuk Ahmad Yunus Alif kembali memperkemaskan permainan berusaha menyaingi Red Giants.

PDRM yang sebelum ini menang dua daripada tiga perlawanan berdepan Selangor dalam kempen Liga Malaysia, akhirnya berjaya menjelmakan gol pada minit ke-71, hasil jaringan Fadi Awad.

Bagaimanapun kebangkitan juara Piala Cabaran itu dimatikan pemain gantian Richmond Boakye dengan gol minit ke-88.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengakhiri cabaran musim ini kedua terbaik liga dengan 61 mata - hasil 20 menang, satu seri dan lima kalah - dikedudukan kedua Liga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, PDRM pula mengumpul 37 mata - hasil 11 menang, empat seri, 11 tewas - untuk kedudukan kelapan liga.

LIGA SUPER

Keputusan

Selangor FC 3-1 PDRM FC

Terengganu FC 3-0 Perak FC

Sabah FC 2-0 Kedah Darul Aman FC

Negeri Sembilan FC 1 - 4 Kuching City