Ayuh buru kemenangan ke-20 buat penyokong Selangor FC

Faizal Halim dijangka menjadi sandaran utama merobek gawang PDRM. - Foto: Selangor FC
Faizal Halim dijangka menjadi sandaran utama merobek gawang PDRM. - Foto: Selangor FC
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan pemburuan kemenangan ke-20 liga musim ini penting sebagai manifestasi kepada pencapaian terbaik pasukan dari Lembah Klang tersebut selepas mengesahkan slot ke saingan kelab Asia musim depan.

Malah katanya, tiga mata itu juga sebagai hadiah kepada penyokong-penyokong setia The Red Giants apabila berdepan PDRM FC dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Ya, sudah tentu setiap pasukan mahukan kemenangan, namun kita mahu menghadiahkan tiga mata selepas meraih slot ke saingan Asia, berdepan PDRM kepada penyokong-penyokong yang sentiasa menyokong pasukan Selangor.

"Kita mahu jadikan keputusan positif dalam perlawanan berdepan PDRM ini sebagai hadiah terima kasih pasukan Selangor kepada penyokong-penyokong setia The Red Giants yang datang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan harapan yang cukup besar," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, tiga pertemuan sebelum ini menyaksikan Selangor tewas kepada PDRM 0-1 saingan Liga Super dan 1-2 perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia namun mara agregat 5-3 setelah mengatasi lawan 4-1 aksi pertama sebelum itu.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga mengingatkan pemain-pemain The Red Giants yang akan diturunkan berdepan anak buah Datuk Ahmad Yunus Alif agar tidak memandang rendah keupayaan juara Piala Cabaran itu.

"Dalam tiga pertemuan berdepan PDRM saingan Liga Malaysia, dua keputusan ternyata tidak memihak kepada Selangor jadi perlawanan ini sekali lagi menuntut sepenuh fokus dan disiplin tinggi setiap pemain.

"Saya percaya PDRM juga sama seperti Selangor mahu memburu penamat terbaik musim ini, selain memperbaiki kedudukan pasukan di posisi terbaik liga.

Artikel Berkaitan:

"Malah kejayaan menjulang kejuaraan Piala Cabaran baru-baru ini diikuti kemenangan ke atas Kelantan FC selepas itu meletakkan motivasi PDRM dalam prestasi terbaik untuk membuktikan sesuatu sekali lagi apabila berdepan Selangor," katanya.