Pakar pengatucaraan komputer derma kornea kepada dua pesakit

Kakitangan HQE memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Jonathan yang mendermakan kornea kepada pesakit. (Gambar kecil: Mendiang Jonathan)
Kakitangan HQE memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Jonathan yang mendermakan kornea kepada pesakit. (Gambar kecil: Mendiang Jonathan)
A
A
A

KOTA KINABALU - Pakar dalam pengaturcaraan komputer yang meninggal dunia telah memberi sinar baharu kepada dua pesakit mengalami masalah penglihatan menerusi pendermaan organ di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini baru-baru ini.

Jonathan Ho, 47, disahkan meninggal dunia akibat masalah perubatan merupakan penderma organ kesembilan di Sabah bagi tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihak keluarga penderma telah bersetuju mendermakan sepasang kornea (mata) setelah dimaklumkan ia masih sesuai dan boleh membantu memulihkan penglihatan pesakit yang memerlukan.

"Ahli keluarga menyifatkan mendiang seorang yang mesra, periang dan sentiasa ingin membantu golongan yang memerlukan tanpa ragu-ragu.

"Ahli keluarga juga berasa bersyukur setelah dimaklumkan bahawa kornea yang didermakan telah berjaya ditransplan kepada dua pesakit di HQE dan berharap mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Asits turut memaklumkan penderma tersebut merupakan seorang graduan ijazah dalam bidang Sistem Maklumat Pengkomputeran dari Hawaii Pacific University di Honolulu, Amerika Syarikat pada tahun 1999.

"Mendiang yang berasal dari Kampung Tuunon Kolopis, Penampang, merupakan pakar dalam pengaturcaraan komputer yang aktif dalam persatuan pengaturcara.

Artikel Berkaitan:

"Mendiang juga sering terlibat sebagai penceramah jemputan dalam bengkel berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membantu komuniti di Sabah menerokai dengan lebih mendalam bidang tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengucapkan takziah dan merakamkan penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini.

"Semoga roh mendiang bersemadi dengan aman dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

"JKNS juga turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada keluarga penderma organ yang lain yang memilih untuk merahsiakan identiti beberapa kes pendermaan yang telah dijalankan pada tahun ini," katanya.

Sebelum itu, HQE telah merekodkan sebanyak lapan kes pendermaan kornea (mata) dan HQE II pula merekodkan satu kes pendermaan pelbagai organ membabitkan hati, buah pinggang dan kornea bagi tahun ini.

@sinarharianonline Pakar pengaturcaraan komputer derma kornea kepada dua pesakit #fyp#beritaditiktok#penderma#organ#Sabah Background Music(815729) - Pavel