Pemain drum terkenal negara meninggal dunia kerana serangan jantung

Lewis Pragasam meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi Isnin.
Lewis Pragasam meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain drum terkenal negara dan Asia Lewis Pragasam, meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi peminatnya, Pragasam, 66, meninggal dunia di Hospital Beacon, Petaling Jaya, Selangor, pada jam 3 pagi.

Malam tadi, beliau membuat persembahan di Konsert Music of Christmas di gereja Good Shepherd Assembly di Petaling Jaya, bersama pemain muzik jaz yang lain termasuk Willie Rebanno dan David Yee.

Sabtu lepas, laman Facebook rasmi peminatnya memuat naik video Pragasam berinteraksi dengan peminat di Eco Drum Jam di Plaza Shah Alam.

Pragasam merupakan seorang pemuzik yang dihormati dari Asia dan telah menerima sanjungan tinggi antarabangsa sebagai pemain genderang terbaik Asia dan peneraju trend baharu dunia muzik.

Pengasas projek perintis Asiabeat pada tahun 1979 itu, telah membuat persembahan bersama ramai artis terkenal antarabangsa seperti Tony Levin, Billy Cobham dan Guru Karakkudi R. Mani, selain Royal Command Performance untuk Putera Wales, Putera Charles (Prince Trust Concert) di Edinburgh, Scotland pada tahun 1995. - Bernama

Artikel Berkaitan: