Manchester City rangkul trofi pertama musim ini

Manchester City merangkul kejuaraan Piala Super UEFA selepas menewaskan Sevilla di Stadium Karaiskakis, Greece.
Manchester City merangkul kejuaraan Piala Super UEFA selepas menewaskan Sevilla di Stadium Karaiskakis, Greece.
A
A
A

MANCHESTER City melaungkan amaran bahawa The Citizens telah bersedia mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini setelah menewaskan Sevilla 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan Piala Super UEFA di Stadium Karaiskakis, Piraeus, Greece pada Khamis.

Anak buah Pep Guardiola yang tampil dengan aura kemenangan 1-0 ke atas kelab Serie A Itali, Inter Milan di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul pada Jun lalu tampil lebih dominan apabila menguasai rentak permainan.

Bagaimanapun Sevilla pimpinan, Jose Luis Mendilibar yang tampil membawa semangat perjuangan Arsenal ketika menumbangkan Manchester City dalam Perisai Komuniti tidak kurang hebat apabila mengancam menerusi beberapa percubaan ke atas juara Liga Perdana Inggeris dan Piala FA itu.

Kegarangan Sevillistas berpusat di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan yang mengakhiri cabaran LaLiga di kedudukan ke-12 dalam kalangan 20 pasukan dijelmakan dengan jaringan pemain Maghribi, Youssef En-Nesyri.

Jaringan minit ke-25, En-Nesyri itu terhasil selepas menyudahkan sentuhan Marcos Acuna bagi membolehkan Sevilla memimpin perlawanan pada separuh masa pertama 1-0.

Separuh masa kedua, juara treble musim lalu kendalian Pep Guardiola kembali tampil lebih garang apabila kerap melakukan deretan percubaan berbahaya dalam misi pencarian trofi pertama musim ini.

Bintang muda The Citizens, Cole Palmer yang berusia 21 tahun akhirnya menghadirkan keceriaan buat kelab Inggeris tersebut menerusi kelincahannya dalam perlawanan tersebut.

Palmer menyamakan kedudukan menerusi jaringan minit ke-63 selepas menyudahkan bantuan gol daripada Rodri bagi menjadikan keputusan terikat 1-1.

Artikel Berkaitan:

City berpeluang memimpin kembali permainan, namun sentuhan Nathan Ake pada masa tambahan diselamatkan oleh Yassine Bounou.

Sebagai rekod, Piala Super UEFA merupakan perlawanan antara pemenang Liga Juara-Juara musim lalu menentang juara Liga Europa.

Kelab LaLiga Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid serta jagoan Serie A Itali, AC Milan merupakan tiga kelab paling berjaya merangkul trofi dengan lima kejuaraan masing-masing.