'Buka pintu nampak depan rumah sudah jadi gaung'

Keadaan hadapan rumah penduduk di Jalan Wawasan, Puchong yang menjadi gaung berikutan kejadian tanah runtuh. - Foto ihsan MBSJ
Keadaan hadapan rumah penduduk di Jalan Wawasan, Puchong yang menjadi gaung berikutan kejadian tanah runtuh. - Foto ihsan MBSJ
A
A
A

PUCHONG - Seorang penduduk di Jalan Wawasan, di sini, berdepan detik cemas apabila melihat hadapan rumahnya tiba-tiba menjadi gaung besar berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Mencerita detik cemas itu, Abd Rahim Md Ali, 72, berkata, beliau dan anggota keluarganya bergegas keluar dari rumah apabila terdengar bunyi kuat seperti pokok yang patah dan sebaik pintu dibuka, mereka tergamam apabila mendapati hadapan rumah mereka telah menjadi seperti gaung.

"Lebih mengejutkan jalan di hadapan rumah saya juga sudah runtuh dan kereta Honda City yang diparkir tepi jalan turut kelihatan terjunam dalam gaung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari.

Lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan, Puchong. - Foto Bernama
Lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan, Puchong. - Foto Bernama

Menurutnya, sebelum kejadian itu berlaku beliau sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib bersama keluarga dan terdengar jeritan beberapa jiran sebelah rumah yang melihat kejadian itu dan suasana menjadi agak panik.

"Selang beberapa minit kemudian pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian dan meminta kami mengosongkan rumah buat sementara atas faktor keselamatan,” katanya dan menambah beliau dan keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Seorang lagi penduduk, Tung Ei Lee, 42, berkata, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sejak puluhan tahun beliau tinggal di situ.

"Sewaktu kejadian saya sedang mengemas rumah, apabila tiba-tiba jiran sebelah rumah datang ketuk pintu beritahu ada tanah runtuh. Saya meluru keluar dan lihat banyak ranting pokok jatuh, saya segera menyelamatkan beberapa dokumen penting dan meninggalkan rumah,” katanya yang kini menetap di rumah adik-beradik.

Artikel Berkaitan:

Semalam, 29 penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong, diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen ketika ditemui pemberita di tempat kejadian berkata penduduk yang terlibat boleh datang ke pejabat Ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan RM1,000 esok bermula jam 10 pagi.

"Kalau boleh minggu depan kita tambah lagi, kerana kerja-kerja pembaikan ini mungkin memakan masa dua minggu. Jadi kita sediakan sedikit peruntukan memadai untuk mereka pergi hotel dahulu,” katanya. - Bernama

@sinarharianonline

'Buka pintu nampak depan rumah sudah jadi gaung' #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Gaung #TanahRuntuh

Pirates Of The Caribbean - Main Theme - He's A Pirate - Geek Music