Vera hampir pasti ‘angkat kaki’ ke Indonesia

Alfredo Vera
Alfredo Vera
A
A
A

KELANTAN FC hampir pasti berdepan kehilangan jurulatih, Alfredo Vera untuk musim depan selepas dia mengakui mengadakan perbincangan dengan sebuah pasukan untuk kembali ke Indonesia.

Pengendali dari Argentina itu berkata, beliau melakukan pertemuan dengan pasukan dari negara Garuda berkenaan, namun belum membuat pengesahan secara rasmi.

Bagaimanapun Vera bersedia untuk kekal bersama The Red Warriors (TRW) jika khidmatnya masih diperlukan pada musim depan.

“Saya belum tanda tangan tetapi saya sudah bincang dengan satu pasukan ini untuk pulang ke Indonesia.

“Saya akan bersama dengan team itu dan keluarga saya juga berada di sana, tetapi kalau masa depan masih ada yang suka, saya boleh kembali lagi ke sini,” katanya pada sidang akhbar selepas kekalahan 2-6 di tangan Kelantan United FC (KUFC) pada penutup tirai Liga Super musim ini pada Sabtu.

Beliau berkata, sudah berusaha ketika bersama TRW dan tidak menuding jari terhadap sesiapa walaupun mengambil alih pasukan ketika kehilangan ramai tonggak.

“Saya sudah berusaha secara maksimum tetapi situasi tidak mengizinkan, namun saya tidak menyalahkan sesiapa pun.

“Pasukan ini tetap dapat mempamerkan aksi yang seimbang dalam banyak perlawanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Vera turut meninggalkan pesanan kepada semua pemain supaya terus fokus, bertanggungjawab dan menjaga disiplin untuk mencapai kejayaan selain tidak terlalu memikirkan pulangan atau ganjaran.

Antara aksi pemain pada perlawanan Liga Super antara Kelantan FC dan KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu. - Foto KUFC
Antara aksi pemain pada perlawanan Liga Super antara Kelantan FC dan KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu. - Foto KUFC

“Saya tidak tahu semua situasi kerana masing-masing berdepan perkara yang berbeza.

“Tetapi menurut saya, wang bukan perkara pertama tetapi jika berusaha jadi profesional 100 peratus, maka wang akan datang sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Vera menerima kekalahan pasukannya dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi dengan hati terbuka.

Menurutnya, pemain-pemain TRW dapat mengawal permainan pada 45 minit pertama tetapi tidak dapat mengekalkannya pada separuh masa kedua.

“Tidak semua perlawanan kita dapat bermain dengan baik. Ada sesuatu yang saya tidak boleh cakap kerana bimbang mungkin tidak benar, lebih baik saya terima saja apa yang terjadi, kami kalah dan perlawanan sudah selesai.

“Tetapi sudah ada perkembangan positif dalam kalangan pemain, sudah berani bermain walaupun masih baru dan masih ada pemain yang mengalami masalah belum betul-betul bersedia,” ujar beliau.