Harimau merayau cari makan, Perhilitan pasang perangkap khas

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan kehadiran seekor harimau belang berkeliaran di laluan sekitar Kampung Orang Asli Tonggang ke Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini sejak dua hari lepas.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, buat masa ini pihaknya menerusi Unit Harimau sedang melakukan pemantauan rapi termasuk akan memasang perangkap khas di lokasi tersebut.

Beliau berkata, laporan berkaitan kehadiran haiwan liar itu di Kampung Tonggang diterima pada Khamis lepas dan kemungkinan ia merayau di kawasan sekitar untuk mencari makanan.

"Kita cuba halau tetapi pihak kami juga akan pasang satu perangkap khas di lokasi yang dirasakan sesuai dan melibatkan laluan yang menjadi kawasan rayau harimau tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Sabtu.

Pada 14 Disember lepas, tular video dirakam sekumpulan Orang Asli memaparkan kelibat harimau belang berkeliaran di kawasan Kem PGA Ulu Kinta menghala ke laluan perkampungan Orang Asli Tonggang.

Sehari selepas itu, dilaporkan kelibat haiwan itu dilihat beberapa penduduk Rancangan Perumahan Awam 2 (RPA 2) yang berhampiran Kem PGA, berlegar-legar di kawasan penempatan mereka.

Yusoff berkata, punca utama harimau yang dianggarkan berusia dua tahun dan seberat 80 kilogram (kg) itu memasuki kawasan tersebut disebabkan kekurangan sumber makanan.

"Harimau tersebut mungkin dari Hutan Simpan Bukit Kinta dan kemunculannya lebih kepada kekurangan populasi atau sumber makanan iaitu babi hutan yang dipercayai terkena serangan penyakit demam babi Afirika (ASF),” katanya.

Justeru, beliau meminta penduduk di sekitar kawasan itu diminta supaya berhati-hati dan mengurangkan aktiviti di luar pada waktu malam.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana harimau adalah spesies yang aktif pada waktu Maghrib hingga Subuh dan kita minta supaya tidak ada individu yang menghampiri kawasan hutan sekitar laluan Kem PGA ke Kampung Orang Asli Tonggang bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. - Bernama