Kaki pancing disapa ngauman pak belang

Muhammad Luqman Haqim (kiri) menunjukkan kepada bomba lokasi dia terserempak dengan harimau belang di Sungai Siput. Lokasi harimau belang berdiri ketika terserempak dengan pengadu berhampiran sebuah kolam berhampiran Taman Dovenby, Sungai Siput (gambar kecil) - Foto: ihsan pembaca

A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang pekerja kilang tergamam berhadapan dengan 'pak belang' ketika memancing di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2 di sini pada Rabu.

Menurut Muhammad Luqman Haqim Muhamad Ghazalim, 22, dia yang baru tiba di kolam memancing terkejut apabila terdengar bunyi gauman kuat harimau di belakangnya.

"Baru sahaja hendak tinjau 'port' untuk letakkan joran, saya terdengar ngauman dan apabila toleh ke belakang baru nampak harimau itu berada di pangkal pokok sawit pada jarak sekitar tiga meter.

"Jelas nampak haiwan itu bersaiz besar dalam posisi berdiri seperti hendak menyerang. Saya tanpa fikir panjang terus berjalan mengundur sambil memegang joran sejauh 10 meter menjarakkan diri dengan binatang buas itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Kesan tapak kaki dipercayai milik harimau ditemukan di lokasi kejadian. Foto: ihsan pembaca
Kesan tapak kaki dipercayai milik harimau ditemukan di lokasi kejadian. Foto: ihsan pembaca

Lokman berkata, sambil membaca doa Nabi Sulaiman matanya tidak lepas memandang haiwan berkenaan kerana bimbang dikejar.

"Apabila situasi sekeliking dalam keadaan selamat, saya berlari sekuat hati menuju arah kuil dan dalam keadaan seluruh badan menggeletar saya meminta bantuan untuk menghubungi pihak berkuasa.

"Penduduk kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan bomba memaklumkan kehadiran haiwan liar itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada seorang anak itu menzahirkan rasa syukur diberi peluang kedua untuk bernafas.

"Kolam itu menjadi lokasi saya memancing sejak kecil lagi. Sehingga kini saya masih lagi terngiang-ngiang bunyi ngauman harimau itu lagi.

"Saya mungkin tidak jejak lagi ke sana lagi dan penduduk juga diminta berhati-hati kerana lokasi kejadian dekat dengan kawasan perumahan kami," katanya.

Muhammad Luqman Haqim bersama pihak bomba membuat pemantauan di lokasi binatang buas itu ditemui di Sungai Siput. Foto: ihsan pembaca
Muhammad Luqman Haqim bersama pihak bomba membuat pemantauan di lokasi binatang buas itu ditemui di Sungai Siput. Foto: ihsan pembaca

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan daripada pengadu pada jam 2.12 petang.

"Kita membuat pemantauan secara berkumpulan dan mengambil gambar tapak kaki haiwan dipercayai harimau.

"Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis dan Perhilitan negeri untuk tindakan lanjut selain menasihatkan penduduk supaya berjaga-jaga," katanya.

Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff ketika dihubungi memaklumkan akan melakukan siasatan dan kawalan di lokasi kejadian.