Ringgit dijangka diniagakan tinggi minggu depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan tinggi minggu depan susulan impak positif daripada pakej rangsangan domestik terbaharu China dan pendirian dasar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) berkaitan kadar faedahnya, kata rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

Beliau berkata, langkah China itu selari dengan komitmennya untuk menyokong sektor hartanah dengan menyediakan rangsangan yang lebih kukuh kepada para pelabur.

"Memandangkan China adalah destinasi eksport terbesar Malaysia, sebarang rangsangan kepada ekonomi domestiknya, secara teorinya, akan meningkatkan eksport Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata penerimaan pelabur serantau terhadap pakej rangsangan China itu akan membantu prestasi ringgit pada minggu depan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka AS (FOMC) memilih untuk mengekalkan kadar faedahnya pada 5.25-5.50 peratus susulan daripada mesyuarat terbaharunya.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya ringgit mungkin berusaha untuk melepasi paras sokongan segera pada RM4.6611 minggu apabila Fed dijangka menurunkan kadar faedahnya tahun depan.

Beliau berkata, tumpuan utama sekarang adalah terhadap yen Jepun apabila mengikut tinjauan Reuters Bank of Japan (BOJ) dijangka tidak akan meneruskan dasar monetarinya yang longgar pada Januari tahun depan.

"Mesyuarat dasar monetari BOJ pada 19 Disember akan dipantau dengan teliti kerana peserta pasaran sedang mencari petunjuk mengenai kemungkinan negara itu tidak lagi meneruskan dasar monetari yang longgar,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejak 15 November, ringgit menyusut berbanding yen sebanyak 6.4 peratus kepada RM3.2868 setiap 100 yen.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, unit tempatan diniagakan bercampur-campur, dipengaruhi oleh pengumuman data inflasi terbaharu AS dan rumusan daripada mesyuarat FOMC.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit agak rendah sedikit berbanding dolar AS kepada 4.6675/6720 daripada 4.6625/6665 minggu sebelumnya.

Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2930/2966 daripada 3.2307/2337 minggu sebelumnya, turun berbanding pound Britain kepada 5.9646/9703 daripada 5.8542/8593 dan susut berbanding euro kepada 5.1165/1214 daripada 5.0243/0286.

Unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang negara-negara Asean.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5136/5173 daripada 3.4818/4853 pada minggu sebelumnya, jatuh berbanding baht Thai kepada 13.3970/41769 daripada 13.1933/2094 dan susut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 301.2/301.6 daripada 300.4/300.8.

Bagaimanapun, unit tempatan naik berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.40 daripada paras penutup 8.41/8.43 pada minggu sebelumnya. - Bernama