Cabaran urus anak autisme

Nazmi (kanan) akui berbelanja besar untuk terapi anaknya yang menghidap autisme.
Nazmi (kanan) akui berbelanja besar untuk terapi anaknya yang menghidap autisme.
A
A
A

SHAH ALAM - Tragedi menimpa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui mati dibunuh pada 6 Disember lalu menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.

Sejak kejadian menyayat hati budak istimewa berusia enam tahun itu dilaporkan, ramai mula cakna mengenai penyakit autisme.

Malah, ada segelintir ibu bapa yang mempunyai anak autisme turut berkongsi pengalaman menjaga kanak-kanak istimewa itu.

Seorang ibu, Irnee Ismail, 47, berkata, kurangnya pendedahan mengenai kanak-kanak autisme satu ketika dahulu menyebabkan dia membesarkan dua anaknya yang dikesan menghidap penyakit itu dengan pendekatan sendiri.

Menurutnya, dia dan suami, Amir Hafiz Ab Rahim, 49, berazam untuk belajar sendiri menguruskan anaknya yang masing-masing berusia lebih 20 tahun dan 12 tahun itu susulan sukar mendapat maklumat mengenai penyakit berkenaan.

KHAIRUL, NAZMI
KHAIRUL, NAZMI

“Waktu anak pertama dikesan menghidap autisme, terma itu asing bagi kami sehingga perlu tanya banyak soalan kepada pakar psikiatri. Tapi penjelasan yang diberikan sangat umum dan tidak membantu.

“Sesi kami itu diakhiri dengan mengambil saranan doktor untuk memasukkan anak ke sekolah aliran perdana bagi membantu anak ini merapatkan cabaran komunikasinya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, mereka terpaksa mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk mencari maklumat berhubung penyakit tersebut

“Kami terpaksa mencari bahan bacaan sendiri dan bertanya kepada orang ramai termasuk doktor dan sahabat.

“Kami putuskan anak kami itu perlu dilatih secara terperinci agar mereka boleh menguruskan diri sendiri,” katanya.

Tambah ibu kepada lima orang anak itu, bertitik tolak dari situ, dia dan suami dapat melihat potensi sebenar anak pertamanya.

“Anak ini mempunyai ingatan kuat dan mempunyai kelebihan dalam pendidikan agama apabila mampu khatam al-Quran sebanyak tiga kali.

Khairul bersama tiga anaknya
Khairul bersama tiga anaknya

“Malah, dia juga boleh baca surah panjang, menulis kaligrafi dan fasih berbahasa Arab ketika berumur 11 tahun,” katanya.

Irnee berkata, anaknya juga menjadi antara pelajar terbaik sekolah menengah agama (SMA) dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menyentuh mengenai seorang lagi anak istimewanya yang kini berumur 12 tahun, Irnee berkata, pendekatan pembelajaran berbeza diberikan kepada anaknya yang baru disahkan menghidap gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan (ADHD) serta disleksia pada 2021 itu.

Namun, katanya, dia dan suami masih menggunakan pendekatan sendiri dengan mempelajarinya melalui internet.

KOS TERAPI

Sementara itu, seorang bapa, Najmi Najib, 41, memberitahu dia membelanjakan RM2,500 sebulan bagi membiayai kos terapi anaknya yang menghidap autisme.

Menurutnya, perbelanjaan yang dikeluarkan itu meliputi terapi al-Quran, percakapan dan cara kerja untuk anaknya yang kini berusia 10 tahun.

Walaupun terpaksa mengeluarkan kos besar, namun dia tetap membiayainya kerana mahu anaknya yang dikesan mengalami sindrom autisme ketika berusia tiga tahun itu mendapat rawatan sewajarnya.

“Memang tidak dapat dinafikan pihak kerajaan ada menyediakan pusat terapi tetapi jumlahnya tidak banyak.

“Bagi ibu bapa yang ingin memastikan anak-anak menjalani terapi terbaik mereka akan hantar ke pusat rawatan swasta,” katanya.

Ditanya mengenai harapan kepada kerajaan bagi membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa, Nazmi berkata, Malaysia ketika ini masih kurang dalam aspek penyediaan pusat terapi kepada kanak-kanak autisme.

“Pusat sedemikian sudah ada cuma ia belum banyak. Sebagai contoh, kita ada Pusat Permata Kurnia dan Makmal Autisme.

“Bagi saya, ibu bapa sendiri juga perlu bersikap proaktif terlebih dahulu dan tidak hanya terlalu bergantung kepada inisiatif kerajaan dalam usaha untuk membantu anak-anak istimewa ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pempengaruh yang juga bapa tunggal, Khairul Abdullah berkata, dia bersyukur kerana tidak banyak kos diperlukan bagi terapi anaknya kerana ia dilakukan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Irnee dan suaminya Amir Hafiz akan sentiasa mencari solusi dalam memberikan terapi terbaik untuk anak-anaknya walau apa juga cabaran sekalipun.
Irnee dan suaminya Amir Hafiz akan sentiasa mencari solusi dalam memberikan terapi terbaik untuk anak-anaknya walau apa juga cabaran sekalipun.

“Kalau dari segi kos tidak banyak yang saya keluarkan iaitu sekitar RM30 untuk satu sesi terapi biasa kerana anak menjalani terapi di hospital kerajaan. Namun, tidak banyak sesi yang dapat dibuat kerana ia terhad.

“Tetapi kalau untuk terapi percakapan atau cara kerja pula kos lebih tinggi. Bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan akan terbeban,” katanya.

SARANAN PAKAR

Intervensi awal terhadap anak-anak autisme mampu mengurangkan gejala yang dihadapi selain dapat mengoptimumkan kefungsian diri mereka.

Pakar psikiatri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, perkara tersebut juga dapat membantu golongan berkenaan dari segi kemahiran mengurus diri, komunikasi dan tingkah laku.

“Sebenarnya, banyak rawatan disediakan di fasiliti kerajaan mahupun swasta untuk golongan ini. Mereka akan dirujuk kepada pelbagai disiplin termasuk doktor pakar psikiatri, pakar kanak-kanak, jurupulih cara kerja, pakar psikologi klinikal, ahli terapi pertuturan, pakar pendidikan khas dan pakar audiologi,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Dr Rozanizam, kerajaan ada menyediakan rawatan untuk anak-anak autisme namun ia menjadi kekangan kepada mereka yang tinggal jauh dari hospital yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Disebabkan itu, ada yang memilih untuk mendapatkan rawatan di swasta.

"Kos di fasiliti swasta pula berbeza mengikut tempat dan servis. Penilaian awal misalnya, boleh cecah sehingga ribuan ringgit," jelasnya.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan menambah fasiliti sedia ada di klinik kesihatan bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak autisme mendapatkan intervensi awal.