Perak terima pelaburan baharu RM2 bilion dari China

Majlis menandatangani MoU antara Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd dengan InvestPerak.
Majlis menandatangani MoU antara Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd dengan InvestPerak.
A
A
A

IPOH - Perak menerima pelaburan baharu bernilai RM2 bilion menerusi projek menghasilkan enkapsulasi filem dengan kerjasama syarikat pelabur dari China, Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dilakukan antara syarikat berkenaan dengan Investment Management Centre (InvestPerak) disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Ibu Pejabat Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd di Hangzhou, China pada Rabu.

Majlis berkenaan adalah sebahagian daripada misi promosi pelaburan Menteri Besar Perak ke Republik Rakyat China (RRC) dari 15 hingga 21 Oktober ini yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.

Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd melalui anak syarikat milik penuhnya di Malaysia, Sinopont Everthriving (Malaysia) Sdn Bhd kini dalam proses membina kemudahan pembuatan baharu di Kawasan Perindustrian Tasek dekat sini.

Projek tersebut sekali gus menjadikan Perak sebagai fasiliti pengilang pertama Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd di Asia Tenggara.

Loji itu dijangka memulakan pengeluarannya menjelang suku pertama 2024, menghasilkan enkapsulasi filem sel solar dengan kapasiti pengeluaran 85 juta meter persegi bagi menampung permintaan 10 gigawatt (GW).

Projek berkenaan akan melalui beberapa fasa dan dijangka mencapai kapasiti pengeluaran 300 juta meter persegi untuk menampung permintaan sehingga 30 GW.

Pelaksanaan projek itu juga bakal mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan sebaik siap dan beroperasi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, nilai pelaburan RM2 bilion yang dibuat syarikat itu adalah bukti keyakinan kukuh pelabur asing terhadap kemampuan Perak.

Katanya, kerajaan negeri akan menyediakan proses kelulusan secara 'fast-track' melalui InvestPerak dalam menjadikan negeri sebagai tempat yang kondusif untuk pelabur.

"Perak juga akan terus mengukuhkan hubungan baik dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempromosikan Perak sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Mohamad Hashim Abdul Ghani berkata, Perak yang terletak di kedudukan strategik pada titik tengah antara Pulau Pinang dan Selangor menjadikan negeri ini muncul sebagai destinasi tumpuan pelaburan baharu.

Katanya, perkara itu disokong dengan infrastruktur lengkap, sumber asli yang banyak, bakat berkemahiran tinggi yang mencukupi, ekosistem perindustrian yang matang serta kos perniagaan yang kompetitif.

"Ini meletakkan Perak sebagai lokasi sesuai untuk syarikat pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan bagi syarikat multinasional (MNC) di Pulau Pinang dan Selangor.

"Dengan beroperasi di Perak, mereka boleh mendapatkan pasaran di dua negeri kuasa industri itu dengan mudah," katanya.