Rasuah: Pegawai polis dipenjara 12 bulan, denda RM25,000

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dihukum penjara 12 bulan dan denda RM25,000 selepas disabitkan bersalah dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas kesalahan meminta rasuah RM5,000 kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Hasbullah Ali Alias turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Hukuman diputuskan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain manakala pendakwaan di wakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa meminta suapan RM5,000 daripada pengadu sebagai balasan kononnya wang tersebut akan diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya hukuman yang dikenakan ke atas seorang lelaki atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya tidak dirayu.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 7.45 petang di sebuah restoran di Jalan Beserah di sini pada Mei 2018.

Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Mahkamah dalam keputusannya mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal memberikan penjelasan jujur untuk mematahkan anggapan atas imbangan kebarangkalian manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh yang kini digantung tugas telah disabit dengan kesalahan setelah dipanggil beladiri dan dijatuhkan hukuman

Artikel Berkaitan: