Rasuah: Bekas eksekutif Petronas dijel sehari, denda RM123,000

Mohd Amal
Mohd Amal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang dijel dan denda oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana rasuah, sekali lagi dihukum penjara sehari dan denda berjumlah RM123,000 atas dua pertuduhan sama, oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Mohd Amal M Razalan, 36, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding sebutan kes, di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

“Mahkamah beri peluang terakhir dan berharap kamu belajar daripada kesilapan ini,” kata hakim itu,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,360 atau penjara 30 hari sekiranya gagal membayar jumlah itu sementara kes kedua, penjara sehari dan denda RM112,640 atau penjara 60 hari.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula jatuh hukum ini.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu sebagai kakitangan Petronas Carigali, didakwa menerima suapan berjumlah RM21,247.04 daripada seorang pengarah syarikat melalui cek Maybank Berhad milik syarikat itu dan akaun Maybank Berhad milik sebuah lagi syarikat.

Perbuatan itu adalah hasil daripada persubahatan bersama pengarah syarikat sebagai upah membantu syarikat lain mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan awam dan struktur untuk PCSB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad cawangan KLCC, Jalan Ampang, di sini antara 21 Februari dan 6 Mac 2018.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana insaf.

Pada 4 Januari lalu, dia didakwa di mahkamah di sini, atas 37 pertuduhan rasuah dan enam pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah lebih RM6 juta berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Susulan pengakuan salah atas dua tuduhan ini, dia masih berdepan 41 pertuduhan lain namun mahkamah mempertimbangkan baki pertuduhan itu sebagai ‘take into consideration’ (TIC).

Pada 8 November lalu, Mohd Amal dipenjara sehari dan didenda RM177,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM35,217.50 sebagai upah membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur untuk PCSB.