Apabila semua nak jadi penganalisis jenayah kes Zayn Rayyan


Allahyarham Zayn Rayyan
Allahyarham Zayn Rayyan
A
A
A

HARI ini genaplah sembilan hari Allahyarham Zayn Rayyan meninggalkan kita sejak mayatnya ditemukan pada jam 10 malam, 6 Disember lalu berdekatan kawasan rumahnya dipercayai akibat dibunuh.

Dalam tempoh sembilan hari ini juga, Merak Jalanan perhatikan tragedi menimpa anak malang itu menjadi bualan di mana-mana sahaja.

Pihak media tidak ketinggalan melaporkan secara langsung dari semasa ke semasa dari lokasi kediaman arwah dan telah menemu bual ramai anggota keluarga juga jiran tetangga.

Pihak polis pula masih bertungkus-lumus mencari bahan bukti dengan teliti di setiap pelusuk kawasan berdekatan Apartmen Idaman itu.

Namun, apa yang Merak Jalanan kesalkan ialah komen-komen yang ditinggalkan di media sosial oleh netizen setiap kali ada penemuan baharu didedahkan.

Tanpa menghormati perasaan keluarga mangsa, ramai dah mula nak jadi pelapor nombor satu kes ini dan membuat andaian sendiri punca kematian anak istimewa itu dengan pelbagai teori tidak masuk akal.

Tak pasal-pasal, ramai pula penganalisis kriminologi bebas tiba-tiba muncul di kalangan rakyat!

Cukup-cukuplah ya. Usah pandai-pandai letak ‘nasi tambah’ seolah-olah kitalah yang ‘terpaling’ pandai menganalisis dan ‘terpaling’ mendapat info paling awal.

Artikel Berkaitan:

Janganlah kelirukan keadaan yang sudah sedia rumit.

Serahkan sahaja tugas siasatan kepada PDRM dan kerja-kerja liputan kepada pihak media. Biar mereka buat kerja.

Ketika ini, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin sepatutnya mendoakan agar tugas pihak berkuasa dipermudahkan, dan keadilan buat Zayn tercapai akhirnya.

Doakan juga agar ibu bapa Zayn terus diberi kekuatan luar biasa untuk berdepan dengan kehilangan besar ini.