Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian

Bursa Malaysia ditutup dalam wilayah positif pada Khamis, mencecah paras tertinggi harian selepas mengambil petunjuk daripada beberapa indeks serantau utama. - Foto hiasan
Bursa Malaysia ditutup dalam wilayah positif pada Khamis, mencecah paras tertinggi harian selepas mengambil petunjuk daripada beberapa indeks serantau utama. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup dalam wilayah positif pada Khamis, mencecah paras tertinggi harian selepas mengambil petunjuk daripada beberapa indeks serantau utama.

Indeks serantau utama secara amnya merekodkan prestasi meningkat susulan isyarat pergerakan kukuh dari Wall Street dalam tempoh semalaman apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.57 peratus atau 8.22 mata kepada 1,456.26 daripada 1,448.04 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama dibuka 0.84 mata lebih baik kepada 1,448.88 sebelum bergerak di antara 1,448.14 hingga 1,456.26 sepanjang hari.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 567 berbanding 352, manakala 452 kaunter tidak berubah, 973 kaunter tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 4.25 bilion unit bernilai RM2.78 bilion daripada 3.76 bilion unit bernilai RM2.40 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, perkara penting daripada mesyuarat FOMC selama dua hari itu ialah kadar faedah kekal tidak berubah.

Beliau berkata, perkara kedua ialah Rizab Persekutuan AS (Fed) menunjukkan bahawa pihaknya akan mula menurunkan kadar faedah tahun depan, yang mencetuskan kenaikan kukuh berterusan di Wall Street, dengan indeks Purata Perindustrian Dow Jones ditutup pada paras tertinggi baharu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila penurunan kadar dilaksanakan di AS, kami menjangkakan dana asing kembali ke rantau ini berikutan penilaian menarik terhadap pasaran serantau dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Justeru, kami menjangkakan Malaysia meraih manfaat daripada kesan limpahan ini, yang akan memberi kesan positif kepada pasaran tempatan,” katanya.

Pak Leng berkata, dengan keyakinan baharu, FBM KLCI mungkin berada dalam aliran berjulat 1,455 hingga 1,465 menjelang hujung minggu ini.

Di peringkat rantau, Hang Seng Hong Kong susut 1.07 peratus kepada 16,402.19; Indeks Strait Times Singapura menambah 0.66 peratus kepada 3,124.65; Kospi Korea Selatan meningkat 1.34 peratus kepada 2,544.18 namun, Nikkei 225 Jepun turun 0.73 peratus kepada 32,686.25.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM9.05 namun, Public Bank menambah empat sen kepada RM4.30, CIMB naik dua sen kepada RM5.81, Tenaga Nasional menokok sembilan sen kepada RM9.97 dan Petronas Chemicals mendatar pada RM7.15.

Antara saham aktif, Sapura Energy kekal pada lima sen, Top Glove menambah 3.5 sen kepada 91 sen manakala Velesto dan SMTrack masing-masing naik pada 22.5 sen dan lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 73.89 mata kepada 10,787.67; Indeks FBMT 100 menambah 73.95 mata kepada 10,454.97 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 89.02 mata kepada 10,904.84.

Indeks FBM 70 melonjak 166.89 mata kepada 14,396.63 namun, Indeks FBM ACE turun 11.49 mata kepada 5,139.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 55.80 mata kepada 16,430.05; Indeks Tenaga menambah 14.90 mata kepada 804.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.99 mata kepada 171.73 dan Indeks Perladangan meningkat 7.25 mata kepada 7,000.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.67 bilion unit bernilai 2.42 bilion daripada 2.49 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran sebanyak 790.68 juta unit bernilai RM121.04 juta berbanding 644.97 juta unit bernilai RM82.56 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 784.15 juta saham bernilai 233.96 juta daripada 617.69 juta saham bernilai RM187.42 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 327.83 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (603.53 juta); pembinaan (196.38 juta); teknologi (143.96 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (73.69 juta); hartanah (279.1 juta); perladangan (38.18 juta); REIT (17.15 juta); dana tertutup (9,800); tenaga (473.19 juta); penjagaan kesihatan (357.06 juta); telekomunikasi dan media (24.02 juta); pengangkutan dan logistik (38.99 juta); serta utiliti (98.46 juta). - Bernama