Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.69 mata kepada 1,457.13 daripada 1,454.44 semalam. Foto hiasan
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.69 mata kepada 1,457.13 daripada 1,454.44 semalam. Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini, sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang menggalakkan dan dijangka menguji semula paras sehingga 1,480.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikan, FBM KLCI "dijangka mempertimbangkan zon 1,465-1,470-1,480, disokong oleh petunjuk teknikal.”

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.69 mata kepada 1,457.13 daripada 1,454.44 semalam.

Indeks utama, yang dibuka tinggi 1.79 mata kepada 1,456.23, bergerak antara 1,456.13 dan 1,462.80 sepanjang sesi.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 402 manakala 381 kaunter tidak berubah, 1,092 tidak diniagakan dan 70 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.22 bilion unit bernilai RM1.49 bilion.

"Kami menyokong belian berdasarkan penurunan untuk memanfaatkan suku keempat 2023 yang lebih baik (sasaran: 1,530), disokong oleh kesanggupan untuk mengambil risiko yang lebih baik selepas pilihan raya dan peningkatan dalam penggabungan dan pengambilalihan (diterajui oleh syarikat berkaitan kerajaan).

"Selain itu, ia turut disokong oleh rekod pegangan saham asing yang rendah pada 19.7 peratus (Julai 2023) dan aliran masuk bersih asing yang bersambung semula (berjumlah RM1.3 bilion pada Julai dan Ogos setakat ini).

Artikel Berkaitan:

"(Terdapat) banyak masa untuk kerajaan perpaduan mempercepatkan inisiatif dasarnya, terutamanya rasionalisasi subsidi dan pembaharuan cukai untuk memastikan kemampanan fiskal jangka panjang dan daya saing negara,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.11, Public Bank menambah 10 sen kepada RM4.24 dan CIMB meningkat tiga sen kepada RM5.66.

Petronas Chemicals merosot empat sen kepada RM7.15 dan Tenaga Nasional berkurangan satu sen kepada RM9.91.

Daripada saham aktif, Iskandar Waterfront City merosot satu sen kepada 75 sen, Ekovest susut dua sen kepada 48 sen dan Top Glove berkurangan 2.5 sen kepada 76.5 sen.

Capital A naik dua sen kepada 97.5 sen manakala RGB International tidak berubah pada 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.07 mata kepada 10,768.88, Indeks FBMT 100 meningkat 21.81 mata kepada 10,444.34 dan Indeks FBM 70 menambah 40.65 mata kepada 14,306.76.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 21.21 mata kepada 10,932.75 dan Indeks FBM ACE susut 16.86 mata kepada 5,239.61.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.82 mata kepada 171.96, Indeks Tenaga berkurangan 0.63 mata kepada 831.68 dan Indeks Perladangan susut 5.17 mata kepada 6,946.67.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 128.15 mata kepada 16,456.88. - Bernama