Raja Petra bagi 10 soalan untuk Rafizi

Raja Petra (kiri), Rafizi
Raja Petra (kiri), Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Penulis blog kontroversi, Raja Petra Raja Kamarudin memberikan 10 soalan untuk dijawab Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi YouTubenya pada Rabu.

Beliau mengajukan soalan mengenai janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis khas ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu untuk menaikkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus buat negeri pengeluar seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Malah Raja Petra turut mempersoalkan bila Anwar akan mendedahkan bukti berhubung dakwaannya terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeleweng dana kerajaan sebanyak RM600 bilion.

“Isu dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi, bolehkah Rafizi menerangkan kepada rakyat bahawa ini bukan tindakan politik dan ia bukan kerana 30 orang ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN).

“Atau 26 ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar jadi Perdana Menteri, ringkas cerita ia tiada kena mengena dengan sokongan UMNO,” ulasnya menerusi hantaran video berdurasi 17 minit 28 saat dimuat naik di YouTubenya.

Beliau berkata demikian susulan Rafizi sebelum ini mengatakan mahu fokus terhadap usaha memperbaiki komunikasi kementeriannya dan Kerajaan Perpaduan, termasuk menjawab kebodohan hujah daripada pihak pembangkang.

Penulis blog terbabit turut mempersoalkan perkara lain berhubung bilakah bukti salinan cek bernilai RM90 juta yang didakwa 'dicuri' oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk diberi kepada Pas akan didedahkan, sebagaimana dijanjikan Anwar beberapa tahun dulu.

Selain itu, beliau membangkitkan persoalan mengenai pengampunan Anwar dan isu UMNO terpaksa menyertai Kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas titah Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

“Boleh tak Rafizi terangkan apakah cerita sebenarnya, kalau Agong tidak titah atau keluar ‘surat kuning’, macam mana UMNO boleh guna alasan tersebut?

“PRU14 banyak manifesto PH tidak ditunaikan kerana pemimpin PH ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kata ia tidak realistik, mustahil dan hanya untuk memenangi pilihan raya, adakah digunakan alasan sama seperti PRU15 sekarang?

“Soalan terakhir, sebab apa Mahathir digulingkan, 22 bulan jadi Perdana Menteri selepas PRU14.

"Padahal dijanjikan selepas dua tahun akan serah kuasa kepada Anwar menjadikan bukan sahaja Mahathir jatuh, tetapi seluruh kerajaan PH,” ujarnya.