[VIDEO] Janji kecilkan Kabinet 'dicapati' - Sanusi

A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Perpaduan didakwa menambahkan lagi siri janji yang tidak ditunaikan apabila dikatakan tidak memenuhi komitmen untuk mengecilkan Kabinet susulan pengumuman rombakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berpandangan, perkara tersebut bercanggah dengan janji yang dibuat semasa pilihan raya.

"Banyak pelanggaran janji dibuat sebelum berkuasa.

“Percubaan untuk mengecilkan Kabinet tidak tercapai, janji pendidikan percuma masih tidak ditunaikan, tiada penurunan harga minyak.

"Semua ini bercanggah dengan janji yang dibuat semasa pilihan raya.

"Saya ingat ia bukan hanya sekali sahaja semasa pilihan raya lalu.

"Dalam banyak pusingan pilihan raya sebelum ini, janji dibuat tetapi semuanya ‘dicapati' (tidak ditunaikan) termasuklah pengurangan menteri Kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sanusi - Foto Bernama
Sanusi - Foto Bernama

Dakwa Sanusi, rombakan tersebut dipercayai didorong oleh tuntutan parti gabungan yang bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

Dakwanya lagi, penambahan lima timbalan menteri dan menteri belum mampu menjamin keberkesanan rombakan Kabinet sebaliknya untuk menjamin kedudukan Perdana Menteri.

"Kedudukan beliau (Anwar sebagai PM) bergantung kepada sokongan parti gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Justeru, tuntutan itu akan menjadi penentu utama siapa dan berapa ramai yang akan mengisi Kabinet.

“Secara realitinya, Kabinet bukan berdasarkan kecekapan atau kecekapan sebaliknya untuk menjamin kedudukan PM,” ujar beliau lagi.

Pada Selasa, Anwar mengumumkan beberapa perubahan dalam barisan Kabinet persekutuan iaitu 31 menteri disokong oleh 29 timbalan menteri, sedikit pertambahan berbanding 28 menteri dan 27 timbalan menteri.

Sementara itu, dalam isu berasingan, Muhammad Sanusi mencabar bekas pengerusi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang supaya tetap dengan kenyataan kontroversinya baru-baru ini mengenai ucapan Impian Malaysia.

"Kalau dia berani, sila ke arah itu. Itu jawapan saya," tambahnya.

Kit Siang mengesahkan dipanggil untuk memberikan keterangan kepada polis berhubung ucapannya di England bulan lalu yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang mana-mana bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Beliau dilaporkan berkata, tempoh masa 230 tahun tidak diperlukan bagi seorang bukan Melayu untuk mendapat peluang itu.