Aaron-Wooi Yik bermula langkah kiri

Aaron (kiri) dan Wooi Yik tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 di Hangzhou, China sebentar tadi.
Aaron (kiri) dan Wooi Yik tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 di Hangzhou, China sebentar tadi.
A
A
A

BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula langkah kiri apabila tumbang dalam aksi pembukaan Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 di Hangzhou, China sebentar tadi.

Tampil selaku beregu nombor ketiga dunia, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-14, 18-21 kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Sekalipun berada di ranking lebih baik berbanding Hoki-Kobayashi yang menghuni tangga ketujuh dunia, rekod pertemuan kedua-dua gandingan itu nyata tidak memihak Aaron-Wooi Yik.

Dalam lapan pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik hanya mampu meraih dua kemenangan dan tewas lima perlawanan terakhir berdepan Hoki-Kobayashi.

Dalam mencongak langkah ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik kini tiada pilihan lain kecuali meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan Kumpulan A.

Begitupun, tugas mereka tampak lebih sukar apabila bakal berdepan dua wakil China termasuk beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang selain Liu Yu Chen-Ou Xuan.

Artikel Berkaitan: