Badi peringkat kumpulan terus hantui Aaron-Wooi Yik

Aaron dan Wooi Yik sekali lagi terpaksa akur tersingkir seawal peringkat kumpulan pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF.
Aaron dan Wooi Yik sekali lagi terpaksa akur tersingkir seawal peringkat kumpulan pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF.
A
A
A

BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berkemas awal apabila tumbang buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China sebentar tadi.

Dalam aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, Aaron-Wooi Yik sekali lagi terpaksa akur dengan gandingan China yang juga beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang apabila tewas 21-18, 14-21, 12-21.

Untuk rekod, ia adalah kekalahan keenam Aaron-Wooi Yik kepada Wei Keng-Wang Chang dalam tujuh pertemuan setakat ini dengan satu-satunya kemenangan yang diraih mereka pada Indonesia Masters 2023 awal tahun ini.

Kekalahan terbaharu kepada Wei Keng-Wang Chang itu menutup terus peluang Aaron-Wooi Yik yang kini menduduki tangga ketiga dunia untuk meloloskan diri ke peringkat separuh akhir pada kejohanan akhir musim itu.

Lebih mengecewakan lagi apabila badi peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF terus menghantui juara dunia 2022 itu apabila mereka turut tersingkir awal dalam tiga edisi terakhir sebelum ini.

Mengikut format pertandingan Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya dua wakil teratas dalam setiap kumpulan layak ke peringkat separuh akhir.

Aaron-Wooi Yik layak buat kali keempat selepas edisi 2019, 2020 dan 2022 apabila berada di kedudukan ranking keempat kejohanan Jelajah Dunia.

Pada Rabu, Aaron-Wooi Yik bermula langkah kiri apabila tewas 16-21, 21-14, 18-21 kepada beregu nombor lima dunia yang juga bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Artikel Berkaitan:

Aaron-Wooi Yik terus dirundung malang apabila apabila mengalami kekalahan kedua apabila tumbang di tangan wakil China yang juga beregu ketujuh dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dengan kekalahan 21-19, 18-21, 20-22.