Terengganu FC ikat tiga 'ubi muda' hingga 2026

Tiga pemain muda menjadi antara taruhan Terengganu sehingga musim 2026. Foto Facebook Terengganu FC
Tiga pemain muda menjadi antara taruhan Terengganu sehingga musim 2026. Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

NAIB juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC (TFC) serius membina masa depan pasukan apabila mengikat tiga pemain muda meningkat naik sehingga tahun 2026.

Mereka ialah pemain pertahanan, Muhammad Safwan Mazlan dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili serta penyerang, Muhammad Syahmi Zamri.

Skuad Penyu pada Isnin mengesahkan sambungan kontrak jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner bagi mengharungi saingan mencabar musim depan.

Steinbruckner menyifatkan ketiga-tiga pemain itu sebagai prospek masa depan TFC dan skuad kebangsaan kerana mereka mempunyai kualiti yang baik seperti ditunjukkan sepanjang musim 2023 ini.

“Tiga pemain muda TFC, Safwan, Ubaidullah dan Syahmi memutuskan untuk terus kekal bersama kelab ini dan menandatangani kontrak jangka panjang untuk kekal sehingga 2026.

“Steinbruckner menyatakan ketiga-tiga pemain muda ini adalah prospek penting dalam pelan beliau bersama TFC.

“Malah beliau melihatkan pemain ini dan beberapa pemain lain mempunyai kualiti untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang," katanya menerusi catatan di Facebook TFC pada Rabu.

Kelab meluahkan penghargaan kepada ketiga-tiga pemain itu untuk kekal beraksi bersama skuad Penyu.

Artikel Berkaitan:

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga pemain ini kerana setia bersama pasukan dan terus bersemangat untuk kekal berjuang bersama TFC,” katanya.

Safwan dan Ubaidullah adalah produk 'ubi muda' skuad Penyu yang diberi kepercayaan oleh Steinbruckner untuk membarisi empat pertahanan mantap yang menarik perhatian peminat serta pemerhati bola sepak tempatan.

Syahmi pula kian garang di bahagian serangan apabila berjaya meledak beberapa gol penting buat TFC termasuk dalam saingan Piala AFC dan berpotensi menjadi penyerang baharu skuad Harimau Malaya pada masa depan.