Kejayaan Jojo, buka mata petarung muda

Laporan Sukan Sinar pada 10 Disember. Gambar kecil: Mohamad Ridhwan
Laporan Sukan Sinar pada 10 Disember. Gambar kecil: Mohamad Ridhwan
A
A
A

JAGUH muay thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali yang mengungguli pentas Primetime US, ONE Championship Sabtu lalu disifatkan sebagai petarung yang merendah diri, namun 'ganas' di gelanggang.

Sikap sederhana petinju berusia 17 tahun itu didedahkan oleh jurulatih Kelab Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohamad Ridhwan Mat Zain yang turut menganggap Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo berada dalam kelas tersendiri.

Malah Mohamad Ridhwan turut kagum dengan keberanian Jojo yang

meskipun masih muda, namun mampu memberi tentangan sengit kepada lawan yang lebih berpengalaman dan berusia.

“Bagi saya dia berada dalam kelas yang tersendiri mampu berada dalam golongan yang terbaik daripada yang terbaik.

“Jojo konsisten kerana tekad diri sendiri yang saya boleh anggap sebagai 'kering'. Perlawanan yang dia hadapi amat sengit daripada golongan petarung terbaik.

“Dia petarung yang merendah diri walau dalam keadaan menuju puncak kegemilangan. Dia tidak sombong melayan peminat dah amat menghormati petarung-petarung otai. Humble di luar dan amat ganas di gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad

Jojo membuktikan kejaguhannya apabila menewaskan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares dalam penampilan sulungnnya di pentas Primetime US, ONEChampionship baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dia hanya memerlukan 36 saat untuk menumpaskan Tabares dengan pukulan knockout (KO) pada pusingan pertama dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand.

Mohamad Ridhwan turut mendedahkan, Jojo dilatih Eddy Simpayek yang merupakan seorang jurulatih dan petarung yang hebat menerusi corak latihan yang berat.

“Eddy memainkan peranan penting dalam kejayaan Jojo dengan jadual latihan yang keras dan konsisten. Asuhan dan sokongan ibu dan ayah dia juga padu bukan sahaja daripada segi moral tetapi segala aspek,” katanya.

Justeru beliau melihat kejayaan Jojo menjadi penyuntik semangat buat golongan muda untuk menyertai sukan muay thai.

“Saya sudah lama tak tengok petarung muda yang berjaya selepas Mat Ropi (Mohd Rafi Abdul Manaf - petinju Kuda Merah PDRM) yang menjuarai kejohanan tiga wilayah Thailand lebih kurang 16 tahun lepas.

“Bagi petarung lama, kami hela nafas lega ada pengganti yang lebih padu untuk menggalas tanggungjawab menaikkan nama negara di persada dunia,” katanya.