Kerajaan Sabah komited beri sokongan kepada barisan Kabinet baharu

Hajiji Noor (tiga dari kiri) ketika tiba di Sekolah Kebangsaan Bundung sempena sambutan Jubli Intan sekolah itu, hari ini. - Foto: Bernama
Hajiji Noor (tiga dari kiri) ketika tiba di Sekolah Kebangsaan Bundung sempena sambutan Jubli Intan sekolah itu, hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

TUARAN - Kerajaan Sabah komited untuk terus memberi sokongan padu kepada barisan Jemaah Menteri baharu bagi memastikan kelancaran pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rombakan Kabinet itu sudah pasti bertujuan membawa kebaikan bukan hanya dalam sistem pentadbiran tetapi juga hasilnya kepada rakyat.

"Kita amat mengalu-alukan. Setelah setahun Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, beliau memikirkan perlu ada sedikit perubahan.

"Rombakan untuk menempatkan mereka (jemaah menteri) di tempat (kementerian) yang sesuai bagi membantu beliau mentadbir kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan (1963-2023) Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung di sini, hari ini.

Barisan kabinet diumumkan Anwar hari ini antara lain menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setelah memangku tugas itu sebelum ini.

Seorang lagi menteri dari Sabah iaitu Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang, kekal menggalas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Hajiji berkata, pelantikan Armizan sebagai Menteri KPDN adalah satu perkembangan baik dan diyakini mampu menjalankan tugas di kementerian itu, yang disifatkan sebagai cukup mencabar kerana melibatkan isu-isu kos sara hidup rakyat.

"Beliau (Armizan) telah menjalankan tugas memangku beberapa bulan dan mungkin kerana itu Perdana Menteri melihat beliau boleh diberi peluang, maka beliau dipindahkan ke kementerian ini (KPDN).

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin beliau boleh menjalankan tugasnya. Begitu juga dengan Datuk Ewon, saya nampak di bawah kepimpinan beliau kementeriannya memang cukup memuaskan,” katanya. - Bernama