Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan perkukuh prestasi menuju 2024

Dr Dzulkefly, Gobind Singh, Noraini, Amir Hamzah, Johari
Dr Dzulkefly, Gobind Singh, Noraini, Amir Hamzah, Johari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua puluh hari menuju ke tahun 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan rombakan Kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran, sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Pengumuman itu yang dibuat dalam sidang media di Putrajaya, menyaksikan pertambahan bilangan Jemaah Menteri, pengguguran seorang menteri serta penampilan tokoh korporat dan akademik sebagai muka baharu selain kemunculan semula lima bekas menteri.

Rombakan ini juga menamatkan desas-desus mengenai perkara itu yang sebelum ini hangat diperbincangkan oleh pemerhati politik, ahli parti dan juga warga maya di pelbagai platform media sosial sejak beberapa bulan lepas.

Selain melibatkan pertukaran portfolio, rombakan turut menyaksikan pertambahan kementerian hasil pengasingan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital sementara Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dipisahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Ia turut menyaksikan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menggalas tanggungjawab tambahan.

Ahmad Zahid yang kekal menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kini bertanggungjawab terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala Fadillah yang bertukar ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam turut menguruskan hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Selain itu, empat muka baharu membuat penampilan dalam Kabinet antaranya tokoh korporat Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pagi tadi bersama-sama tokoh akademik, Dr Zulkifli Hasan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, jawatan yang dikembalikan semula dalam Kabinet.

Artikel Berkaitan:

Turut menjadi tumpuan, penampilan semula bekas menteri yang dijangka mengukuhkan lagi prestasi Kabinet ialah Gobind Singh Deo yang dilantik sebagai Menteri Digital, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi).

Bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad pula dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala bekas Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran kembali sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Rombakan juga menyaksikan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar serta dua timbalan menteri Ramkarpal Singh (Jabatan Perdana Menteri - Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Datuk Siti Aminah Aching (Perladangan dan Komoditi) digugurkan.

Pertukaran portfolio pula melibatkan menteri dan timbalan menteri sedia ada antaranya Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpindah ke Kementerian Luar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi).

Rombakan turut melibatkan Jabatan Perdana Menteri, antara lain menyaksikan Dr Zaliha Mustafa yang sebelumnya Menteri Kesihatan kini menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Wilayah Persekutuan di bawah jabatan itu.

Secara keseluruhan, ia menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri bertambah kepada 29, sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang namun masih rendah berbanding 70 orang dalam Kabinet kerajaan terdahulu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia bagi kesemua lima menteri dan lima timbalan menteri baharu turut diadakan hari ini di Istana Negara.

Anwar ketika mengumumkan rombakan itu berkata, langkah berkenaan adalah bagi memenuhi setiap perubahan dari segi perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup dapat ditangani dengan baik.

"Saya harap insya-Allah, kalau keadaan prestasi baik, memuaskan dan tidak ada tekanan atau permasalahan baharu seperti isu digital, saya tidak fikir harus ada apa-apa perubahan untuk kita terus ada rencana empat tahun akan datang sehingga PRU,” kata Anwar.

Rombakan ini adalah yang pertama kali dilakukan Anwar sejak Kabinet Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah jawatan pada 3 Disember 2022.