'Dr Dzulkefly perlu kerja lebih keras hadapi situasi mencabar'

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan semula Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merupakan pengiktirafan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keperluan negara dalam mengatasi cabaran yang bakal negara hadapi.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, Azrul Mohd Khalib berkata, Dzulkefly perlu bekerja dengan lebih keras dalam menghadapi situasi semasa yang mencabar.

“Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen mengalu-alukan kembalinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan Malaysia ke-24 tetapi beliau perlu berhati-hati terhadap skala cabaran dan jangkaan akan datang.

“Menteri Kesihatan mesti bertindak untuk membina semula keyakinan, kesepakatan dan mendapatkan semula kepercayaan.

“Cabaran kesihatan yang Malaysia hadapi semakin besar dan dalam beberapa situasi ia bertambah buruk sepanjang tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Dzulkefly kembali menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam rombakan Kabinet diumumkan Anwar.

Pengarah Strategi Parti Parti Amanah Negara (Amanah) itu menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Dzulkefly mempertahankan kemenangan di kerusi Parlimen Kuala Selangor buat penggal ketiga pernah berkhidmat sebagai Kesihatan hampir dua tahun ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azrul turut berkongsi dua cadangan yang boleh dilaksanakan Dzulkefly dalam tempoh 100 hari pertama kembali berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

“Pertama, Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2023 perlu dikekalkan sehingga ia diluluskan di Dewan Negara, ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan ke dalam buku-buku statut serta seterusnya menjadi undang-undang.

“Tahun lalu kerajaan telah dilabel sebagai pihak yang mementingkan tembakau dan industri vape dengan banyak kompromi serta menghakis kewajipan Malaysia di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menyarankan Dzulkefly untuk mempertimbangkan empat isu kritikal antaranya, mencari penyelesaian kepada pembiayaan penjagaan kesihatan yang mampan dan bertindak balas secara berkesan kepada krisis penyakit tidak berjangkit.

Seterusnya, merapatkan jurang kesihatan mental dan menangani kekurangan kesiapsiagaan dalam menyediakan penjagaan terhadap penduduk negara yang semakin tua.

Menurut Azrul, Kementerian Kesihatan perlu mengutamakan komunikasi berkesan yang melibatkan pekerjaan di samping memastikan penglibatan semua pihak berkepentingan dalam perancangan program dan penilaian hasil.

“Dr Dzulkefly perlu memastikan pendekatan perundingan dan inklusif yang untuk menangani hal berkaitan kesihatan.

“Kami berharap beliau dapat bekerjasama dan berunding dengan sektor swasta, kumpulan pesakit, komuniti terjejas dan organisasi masyarakat sivil."

"Beliau (Dzulkefly) perlu membuat keputusan sukar untuk memastikan kualiti dan liputan penjagaan kesihatan dapat diakses oleh semua golongan yang memerlukannya. Tiada sesiapa yang boleh ditinggalkan,” katanya.