Soalan kontroversi UniMAP: Jabatan Pendidikan Tinggi tidak campur tangan

Soalan peperiksaan tersebut tular di media sosial.
Soalan peperiksaan tersebut tular di media sosial.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan urusan pelaksanaan program akademik susulan kontroversi soalan peperiksaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) termasuk soalan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), jawi dan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam.

JPT menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedia maklum dengan isu tersebut namun menegaskan setiap universiti mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman dan luaran.

Menurutnya, berdasarkan konsep autonomi universiti, pihak JPT tidak akan campur tangan dalam urusan pelaksanaan program akademik.

“JPT ingin menekankan bahawa setiap universiti mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman dan luaran (Internal and External Quality Assurance System).

“Jawatankuasa Akademik setiap universiti (termasuk Senat universiti) bertanggungjawab ke atas semua standard akademik masing-masing. Berdasarkan konsep autonomi universiti, pihak JPT tidak akan campur tangan dalam urusan pelaksanaan program akademik.

“Pihak JPT memegang kepada konsep autonomi dan kebertanggungjawaban (autonomy with accountability),” katanya.

Katanya, melalui konsep itu, pihak universiti adalah bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelajar dan orang awam.

“Begitupun, JPT sentiasa memantau kecemerlangan universiti melalui beberapa matriks seperti kemenjadian dan kebolehpasaran graduan, keunggulan institusi, impak universiti terhadap industri dan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu berkata, UniMAP dijangka akan memberi penerangan lanjut berkenaan kontroversi soalan peperiksaannya yang dianggap sensitif oleh sesetengah pihak itu.

Semalam, Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh memuat naik satu tangkap layar soalan peperiksaan berkenaan yang menyatakan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik sebagai ikon Islam dalam laman Facebook beliau.

Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu membidas penerbitan soalan tersebut malah mendakwa Zakir Naik bukanlah ikon untuk umat Islam.