JBPM keluar lebih 400 notis kepada premis bilik sewa 'sarang burung'

Nga Kor Ming bercakap kepada pemberita selepas meninjau premis rumah kedai yang dijadikan bilik sewa 'sarang burung' di sekitar ibu kota hari ini. - Foto Bernama
Nga Kor Ming bercakap kepada pemberita selepas meninjau premis rumah kedai yang dijadikan bilik sewa 'sarang burung' di sekitar ibu kota hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan sebanyak 464 notis menghapus bahaya kebakaran kepada 85 premis yang dijadikan bilik sewa "sarang burung" setakat semalam.

Kesemua notis berkenaan dikeluarkan semasa Pelaksanaan Pemeriksaan Khas Penghapusan Bahaya Kebakaran terhadap 247 premis di seluruh negara sejak 26 Oktober lepas.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kuala Lumpur menjadi negeri paling banyak menerima notis berkenaan iaitu 113 notis, diikuti dengan Pulau Pinang (71) dan Sarawak (57).

Beliau berkata, sebanyak 198 notis dikeluarkan untuk kesalahan pengalihan atau ketiadaan kelengkapan menentang kebakaran, diikuti dengan kesalahan pemasangan keselamatan tidak dipasang dengan betul (124) dan jalan keluar tidak mencukupi (56).

"Selain itu, JBPM turut mengeluarkan 40 notis atas kesalahan menggunakan bahan berbahaya kepada nyawa atau mengganggu tugas JBPM, pengubahan bangunan yang menyukarkan pelepasan diri (36) dan kesesakan tempat hiburan atau perhimpunan awam yang membataskan penghuni menyelamatkan diri (10),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah premis dipercayai dijadikan rumah sewa "sarang burung" di sini hari ini.

Nor Hisham (kiri) memberi penerangan kepada Nga Kor Ming (kanan) ketika tinjauan di premis rumah kedai yang dijadikan bilik sewa 'sarang burung' di sekitar ibu kota hari ini. - Foto Bernama
Nor Hisham (kiri) memberi penerangan kepada Nga Kor Ming (kanan) ketika tinjauan di premis rumah kedai yang dijadikan bilik sewa 'sarang burung' di sekitar ibu kota hari ini. - Foto Bernama

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad (kiri).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati sebuah premis di Jalan Jejaka, Maluri di sini dan beberapa tempat di sekitar ibu kota diberikan notis untuk diambil tindakan serta-merta bagi menghentikan operasi dan meruntuhkan semua binaan yang tidak mematuhi undang-undang dalam bangunan.

Bilik sewa "sarang burung" merujuk kepada bilik sewa kecil yang ditawarkan kepada orang ramai yang didapati tidak menepati ciri-ciri keselamatan dan kebakaran bangunan serta tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa bagi pengubahsuaian premis.

Mengulas lanjut tentang premis yang dilawati hari ini, Kor Ming berkata, premis berkenaan sebelum ini menempatkan 78 bilik sewa "sarang burung" dan ia disifatkan sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan pemilik yang ingin mengaut keuntungan berganda.

"Kita wajar mengambil iktibar daripada kejadian menyayat hati melibatkan kebakaran yang meragut nyawa 21 murid Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat di sini pada 2017.

"Insiden sedemikian tidak boleh berulang lagi sebab itu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengambil inisiatif menerajui operasi ini dan kita harap mana-mana pihak yang ingin mengubah suai bangunan, wajib mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!