Steinbruckner kekal terajui TFC musim depan

Hishamuddin (kanan) bersama Steinbruckner. - Foto Hishamuddin Abdul Karim
Hishamuddin (kanan) bersama Steinbruckner. - Foto Hishamuddin Abdul Karim
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner masih diberi mandat menjadi pengendali skuad Penyu itu bagi mengharungi Liga Malaysia pada musim hadapan.

Perkara tersebut disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim yang berpuas hati dengan prestasi dipamerkan Steinbruckner pada musim ini.

"Saya suka nasihatkan semua peminat bola sepak Terengganu agar jangan mudah terpedaya dengan olahan berita yang tidak tahu sumber dari mana.

"Pada musim depan, pihak Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan yang telah ditubuhkan oleh Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd diberikan mandat mengemukakan cadangan barisan kejurulatihan dan pemain bagi setiap pasukan di bawah TFC.

"Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah pada 14 November lalu berserta dengan pemilihan Ketua Pegawai Operasi TFC, satu kertas laporan telah dibentangkan cadangan barisan kejurulatihan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan.

"Antara senarai nama yang dikemukakan ialah Ketua Jurulatih sekarang di mana beliau telah dipersetujui untuk terus membimbing pasukan TFC," katanya di Facebook pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, jawatan sebagai 'Sporting Director' juga telah dipersetujui dan dinamakan untuk dilantik atas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif TFC sendiri bagi menguruskan perjalanan pasukan tersebut secara lebih objektif dan berstrategi.

Menurutnya, rundingan gaji, kandungan kontrak, surat tawaran dan lain-lain perkara tidak diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu mahupun Lembaga Pengarah TFC.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebaliknya ia diuruskan secara terus di bawah pengurusan TFC Sdn Bhd.

"Semua perjalanan ini akan diuruskan pasukan pengurusan TFC Sdn Bhd secara tertib dan mengikut kelulusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

"Saya berharap penjelasan ini sudah cukup untuk melegakan semua penyokong bola sepak Terengganu," ujarnya.