Kelulusan segera RM1.5 juta selenggara jalan Kuantan - Chukai rosak

Nanta (kiri) ketika meninjau Jalan Kuantan - Chukai (FT03), Seksyen 358.0 - 359.0, Kuantan pada Isnin. Foto: FB Alexander Nanta Linggi
Nanta (kiri) ketika meninjau Jalan Kuantan - Chukai (FT03), Seksyen 358.0 - 359.0, Kuantan pada Isnin. Foto: FB Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUANTAN -[DIKEMAS KINI] Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pembinaan semula separa (CIPR) iaitu kerja-kerja meninggikan jalan dan menguatkan struktur 'pavemen' jalan yang baharu di Jalan Kuantan - Chukai (FT03), Seksyen 358.0 - 359.0 di sini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, peruntukan tersebut melibatkan kelulusan segera sebagai persediaan berdepan bencana banjir.

Menurutnya, jalan itu berhadapan dengan situasi kerosakan iaitu mendapan dan persempadanan semula yang rosak teruk akibat kekerapan banjir serta dilalui kenderaan berat lebih muatan.

"Penyelenggaraan jalan raya sentiasa diberikan keutamaan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) serta menjadi agenda utama dalam inisiatif kempen MYJalan.

"Kempen ini merangkumi usaha untuk mengatasi pelbagai isu utama jalan raya seperti jalan rosak, masalah lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata sedemikian ketika lawatan ke lokasi tersebut bagi meninjau kesiapsiagaan kementerian dan agensi dalam menghadapi bencana banjir di sini pada Isnin.

Dalam tinjauan itu, beliau telah diberi taklimat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Pahang oleh Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir Ts Hafizah Zakaria.

Ujar beliau, kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana termasuk banjir juga sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Kerja Raya (JKR) terutamanya dalam berhadapan dengan MTL dan musim banjir.

Artikel Berkaitan:

Nanta ketika meninjau Jalan Kuantan - Chukai (FT03), Seksyen 358.0 - 359.0, Kuantan pada Isnin. Foto: FB Alexander Nanta Linggi
Nanta ketika meninjau Jalan Kuantan - Chukai (FT03), Seksyen 358.0 - 359.0, Kuantan pada Isnin. Foto: FB Alexander Nanta Linggi

Dalam pada itu, beliau turut membuat tinjauan teknikal di beberapa lokasi di laluan Jalan Persekutuan yang perlu diberikan perhatian kritikal di sekitar Kuantan, laitu Jalan Kuantan-Chukai (FT03) di Sek 361.9 (Jambatan Sungai Ular) yang menghadapi situasi kerosakan pada sendi renggang.

"Bagi langkah kawalan segera, tindakan pembaikan jangka masa pendek telah dilaksanakan dengan membuat tampalan pada sendi renggang yang rosak.

"Peruntukan sebanyak RM71,000 telah dimohon menerusi Notification Of Emergency (NOE)," ujar Nanta lagi.

Jelas beliau juga, JKR Pahang telah memohon peruntukan menaik taraf jambatan ini di bawah Program Menggantikan Jambatan Uzur, Sempit dan Tujuan Peningkatan Had Berat Muatan Di Laluan Utama Jalan Persekutuan bagi menyediakan infrastruktur yang lebih selamat serta memenuhi keperluan semasa.

"Usaha ini juga dapat membantu menyuraikan masalah kesesakan trafik di laluan ini yang kerap menjadi rungutan pengguna jalan raya," tambah beliau.