Tiada keperluan potong gaji, elaun menteri: Khalid Samad

Khalid Abd Samad . FOTO: BERNAMA
Khalid Abd Samad . FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menyifatkan tiada keperluan untuk memotong gaji dan elaun yang dinikmati menteri.

Menurutnya, gaji yang diperoleh menteri pada masa ini sudah memadai walaupun jauh lebih rendah berbanding menteri pada pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Saya rasa dah okey (elaun, gaji menteri). Sejak hari pertama dilantik menteri, elaun ahli Parlimen dipotong sepenuhnya.

"Kalau dulu, elaun dan gaji ahli Parlimen turut dinikmati oleh menteri," katanya.

Beliau berkata, kesemua kemudahan yang disediakan untuk ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri telah dinafikan.

"Elaun ahli Parlimen dipotong sepenuhnya termasuklah elaun kehadiran Parlimen sekitar RM300 hingga RM400 sehari.

"Saya juga sudah tidak boleh lagi buat tuntutan bagi cukai jalan kenderaan," katanya.

Di samping itu, Khalid berkata, gaji beliau turut dipotong sehingga 30 peratus untuk dimasukkan ke dalam akaun Parti Amanah Negara (Amanah).

"Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen Amanah akan menyumbangkan sebahagian gaji mereka untuk parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar setiap Kertas Kabinet yang diedarkan dan dikemukakan pada hari berkenaan tidak boleh diluluskan segera.

"Kita tidak sempat pun untuk teliti. Sebagai contoh penyelarasan ini, ia dijelaskan hanya pada muka surat akhir walaupun ada nota rujukan," katanya pada sidang akhbar kejayaan utama kementerian dan agensinya di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam reaksinya bersetuju sekiranya elaun menteri Kabinet dipotong sebagai salah satu langkah penjimatan kewangan negara.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar turut menyatakan komitmen sama.

Ia susulan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan lebih baik elaun ahli politik dipotong berbanding elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Terdahulu Khalid menyenaraikan beberapa kejayaan dicapai kementerian itu antaranya memaksimumkan penglibatan ahli Parlimen dalam proses membuat keputusan dan dasar menerusi pembentukan Majlis Menteri.

Ahli Parlimen turut dilantik menganggotai Jawatankuasa Kecil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai wakil suara rakyat.

Selain itu, kajian masalah kesesakan lalulintas dan kaedah penyelesaian sedang dilaksanakan serentak dengan Kajian Deraf Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2040.

Kementerian juga turut mengadakan transformasi Halal Hub Labuan dengan pelabur baharu iaitu Syarikat Nam Cheong Dockyard Sdn Bhd bagi industri pembinaan dan penyelenggaraan kapal sebanyak RM60 juta selain menawarkan 1,500 peluang pekerjaan baharu pada tahun hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN 'Baik turunkan gaji menteri daripada mansuh elaun BIPK'

'Kalau perlu potong, potonglah'