Malaysia masih teliti artikel perjanjian Paris - Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia masih belum mencapai kata putus mengenai Artikel 6 Perenggan 2 di bawah Perjanjian Paris kerana dibimbangi menjejaskan komitmen Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang telah ditetapkan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, di bawah pasaran karbon, negara anggota Perjanjian Paris yang mahu capai sasaran NDC boleh menjalin kerjasama perdagangan karbon kredit secara dua hala dengan negara lain.

"Kita (Malaysia) masih dalam proses mencapai persetujuan berkenaan Artikel 6 Perenggan 2 Perjanjian Paris di Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP 28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

"Mengapa kita sedang teliti perkara ini? Kalau di bawah NDC, ia akan menjejaskan komitmen negara. Justeru, ia memberi kesan kepada kepada Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara pada Isnin.

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata, kerajaan menyokong sepenuhnya pasaran karbon sebagai satu kaedah untuk mengimbangi pelepasan gas rumah hijau (GHG) negara.

Di peringkat domestik, Malaysia telah melancarkan Bursa Carbon Exchange bagi Pasaran Karbon Sukarela (VCM) yang mematuhi shariah, pertama seumpamanya di dunia.

"Perenggan 4 di bawah Perjanjian Paris membenarkan urus niaga antara entiti-entiti swasta dan kita melihat ini tidak menjejaskan NDC dan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun lepas, Perdana Menteri berkata, Malaysia telah menyemak NDC untuk mengurangkan keamatan (intensity) pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2005 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab negara terhadap sasaran iklim global secara keseluruhan.

Usaha ke arah mencapai NDC juga telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022 - 2040. - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!